Thursday, November 8, 2018

TIPS TEMU DUGA DI JABATAN KERAJAAN

Assalamualaikum.

Ok, mesti ramai ingin mencuba untuk memasuki sektor kerajaan. Di sini nak bagi sedikit tips tentang temu duga di jabatan kerajaan. Pengalaman menghadiri temu duga sebagai Penolong Pegawai Tadbir Gred N29 sebanyak 3 kali ini memang membuka mata terutamanya temu duga kali ke 3 ini. Sedia maklum, aku sekarang telah bekerja di sektor kerajaan sebagai Pembantu Tadbir (P/O) Gred N19 selama 12 tahun. Jadi kenapa masih lagi tidak berjaya melepasi temu duga ini? Ini bukan isu ko ada cable ke apa. Benda ni memang paling pantang dalam hidup aku. Ini isu diri sendiri sebenarnya.


Persediaan awal
Jika kita lepas sampai ke tahap untuk ditemu duga dikirakan kita sangat bertuah melepasi beberapa ujian sebelum ini. Antara persediaan awal yang perlu dilakukan adalah:-

1) Belajar bercakap perkenalkan diri - ini nasihat panel pada aku. Untuk persediaan awal, bagi meningkatkan keyakinan diri, cuba bercakap depan cermin atau minta bantuan sesiapa yang rapat menemu duga anda. 

Belajar menghargai diri. Lihat kelebihan diri dan hargai diri. Ini bukan isu bodek tetapi kena tahu apa kelebihan yang diri kita. Contoh: tugasan kita sekarang apa yang boleh dibanggakan. Mampu menyelesaikan tugasan dalam tempoh yang ditetapkan.

Yang saya nampak sebenarnya, apa yang kita nyatakan dalam resume itulah yang sepatutnya kita cerita masa temu duga nnt. Jadikan point apa yang kita sediakan dalam resume tu untuk kita cerita tentang diri kita.

Panel pun bagi teguran, sebenarnya bukan isu pandai bahasa Inggeris tetapi cara kita sampaikan kepada panel tentang keyakinan yang kita ada.

2)  Tahu isu semasa - ambil tahu dan baca info terkini terutama tentang pengurusan yang kerajaan buat sekarang. Sebagai contoh macam temu duga kali ini tentang Belanjawan 2019 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan di Parlimen pada 2 November lalu.

Untuk penjawat awam yang sedia ada, cuba ambil tahu tentang kerja semasa dan tentang perintah-perintah kerajaan.

3) Lagi satu, jawatan-jawatan penting kerajaan yang perlu kita ambil tahu. Contoh siapa PM kita, KSN kita dll.

Sebenarnya persediaan mental itu lebih menguasai diri kita semasa temu duga, di situ kita akan rasa yakin atau tidak.


Selamat mencuba.


Friday, August 10, 2018

FIBROADENOMA: Penyakit dalam diam (hormon estrogen berkait dengan tisu badan)

Assalamualaikum wbt,

Memandangkan lama tak menaip di blog sendiri, rasanya pelbagai cerita, kisah diri pun hadap tanpa sedar. Manusia ni kadang-kadang cepat berubah mood dia, ada masa baik, ada masa sebaliknya.



FIBROADENOMA

Sumber Google - Wikipedia: Tisu yang berkumpul menjadi FIBROADENOMA


Pernah terdengar tak atau terbaca sakit ini? Berbalik pada tajuk pos ni pun, tentang penyakit dalam diam ni berkenaan dengan hormon badan wanita. Sebenarnya tentang diri sendiri. Beberapa bulan sebelum hadirnya tahun 2018, memang rasa sedikit sakit di dada sebelah kanan seperti berdenyut terutama bila situasi tertekan atau marah dalam diam. 

Pada awal tahun 2018, mungkin disebabkan tekanan tempat kerja serta emosi yang kurang stabil, sakit ni semakin kerap terjadi. Antara tanda-tanda awal yang dialami:

1) Berdenyut (rasa bagai satu salur di bahagian dada ditarik halus)
2) Kerap lenguh keseluruhan tangan.
3) Cepat rasa kurang sabar dan ada masa cepat melenting
4) Rasa sangat letih terutama bila selesai melakukan kerja harian.

 Mula-mula fikir, ada sakit jantung ke? Tapi peliknya sebelah kanan. Jantung sebelah kiri. Pelbagai soalan bermain kat kepala ni. Nak dijadikan cerita, tuhan tunjuk dimanakah sakit tu bertapak. Pada awal bulan Februari 2018, muncullah ketulan kecil di sekitar dada ni. Mula rasa panik. Ada kanser ke? Kebetulan badan masa tu rasa sangat tak bermaya dan letih. Ambil keputusan buat urutan tradisional. Masa berurut tu, kak bidan pun tak berani nak kata, takut itu kanser. Nasihatkan aku untuk jumpa doktor sakit puan. Hati dah mula rasa nak nangis sebenarnya. Nak mati ke aku ni.

 
Sumber google: Sama la kedudukan 'lump' di situ..


Beberapa hari selepas tu, terus pergi ke klinik ibu dan anak - Klinik Rabisyfina  (Taman Rinting, Pasir Gudang). Suka doktor ni, sebab sejak dari mengandung pertama, gugur anak ke dua sampailah ke masalah wanita. Nasihat dan penerangan doktor ni memang jelas. Tak lama je dia periksa, terus dia kata "Ini Fibroadenoma, bukan kanser, sebab ketulan tu bergerak-gerak. Jangan risau." Ini info sedikit yang aku faham apa yang diterangkan:

1) Berkait dengan hormon estrogen. Perbentukan hormon untuk menjadi susu di tisu badan tu terkumpul di bahagian tersebut. Kira macam tersumbat lah, berkumpul sampai jadi ketulan.
2) Berkait dengan gaya hidup dan pemakanan. (kurang senam dan kurang makan makanan serat seperti buah dan sayuran)

Belum ditanya apa cara nak hilangkan, doktor terus kata "memang kena buang secara pembedahan kecil". Suami menyampuk, "kalau tak bedah tak boleh ke?". Tersenyum doktor tu, "tak boleh, memang kena bedah, takut makin membesar. Memang ada kes dia boleh mengecil sendiri tapi lebih elok buang."

Sumber Google: Ngeri pula tengok jarum tu.

Memang tabik doktor ni, dia bersungguh carikan klinik pakar sakit puan. Siap cari alamat doktor yang sesuai untuk buat pembedahan tu. Cari doktor wanita pulak tu. Rasa sangat berterima kasih. Moga Allah rahmati doktor.

Bulan April hari tu dah pun rujuk doktor pakar. Dia memang sahkan sakit aku ni sama apa yang doktor Klinik Rabisyfina tu kata. Kena buat pembedahan. Besar ketulan tu pun sebesar duit 50sen lama. Doktor pakar pun kata minor sugery je.. sehari dah siap. Anggaran kos dalam RM3,000.00

Tapi sampai sekarang aku tak bedah. hahahaha.. bukan sebab takut tapi suami hubungi ejen insurans, dia kata insurans tak lindung jika pembedahan tak buat bila pesakit tak bermalam di hospital. adoilah... Nak telefon klinik tu balik , punyalah berlengahnya aku ni... 

Nak baca lebih lanjut tentang sakit ni boleh ke link 

Baiklah, kalau dah jadi aku dah bedah, akan diceritakan kisah di pos seterusnya ya.

Sekian, terima kasih.



Thursday, March 10, 2016

Genap 9 tahun

Bismillahirrahmanirrahim...
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang)

Aku terima mesej di pagi jumaat daripada akak tentang ayah sedang sakit dan telah dirawat di Hospital Kulai kerana serangan strok (angin ahmar). Terus aku telefon dia dan marah "kenapa benda ni boleh lambat bagi tau?"

Fikiran aku kosong, sebak aku bila beritahu Kak Liza dan Ayu, rakan seunit tempat kerja. Jam baru menunjukkan 10 pagi tapi aku bagai tidak keruan. Mungkin Kak Liza perasan keadaan aku masa tu. "Pergi lah balik Nurrul, minta izin dengan En.Rosle.." pujuk dia.. Dengan perasaan sedih yang tidak dapat ditahan, semasa minta izin untuk kecemasan pulang ke kampung, air mata mula mengalir. "Encik Rosle, saya minta izin balik kampung, ayah saya masuk hospital." "Ok.. ok.. Nurrul, pergi la..." ujar Encik Rosle setuju.

Rakan seunit, Pak Lah bantu aku hantar ke stesen ERL Putrajaya. Dalam ERL sepanjang perjalanan ke KL aku menangis tidak henti. Bergegas ke Puduraya dan mendapatkan tiket bas ke Johor Bahru. Entahlah, sakit ayah kali ini sedihnya lain macam sedangkan dahulu semasa aku bersekolah lebih tiga kali melihat ayah rebah disebabkan sakit strok ini.

Dalam jam 4.00 petang lebih kurang aku sampai di Hospital Kulai, tunggu sehingga waktu melawat. Sebelum itu jumpa akak di sana dan berehat di surau hospital untuk tunaikan solat. Tiba waktu melawat dibenarkan, sampailah tiba di katil ayah, Allahuakbar... Mata ayah bengkak, tidak boleh bercakap, dan kaku sebelah kiri badannya. Kami memberi salam ayah cuma mengangguk dan mengusap kepalanya beberapa kali. Waktu inilah semuanya berkumpul kecuali along yang masih di Perak.

Sepanjang kami bercakap ayah hanya mengusap rambutnya beberapa kali dan memegang hujung baju kemeja. Mungkin dia mahu bercakap sesuatu tapi tidak mampu. Anak lelakinya membersihkan bajunya dan semasa inilah kali pertama aku mengurut kepalanya dan berkata hatiku, lembutnya rambut ayah. Semasa makanan sampai, aku menyuapkan makanan kepadanya.

Ya!! Itulah kali terakhir aku suapkan ayah dan itulah hari terakhir aku ratap wajah ayah ketika dia hidup. Pengalaman ini lama berlalu, kini 1 Jamadilakhir 1437h genaplah 9 tahun ayah pergi tinggalkan kami. Hidup dengan ayah sepanjang 26 tahun, macam-macam pengalaman dirasai. Terlalu banyak kenangan terutama bila tiba bulan ramadhan, bantu dan teman mak ayah jahit baju sama-sama sambil dari pagi, malam sampailah tiba waktu sahur. itulah rezeki mewah kali untuk bulan syawal. Pagi syawal memang jarang kami raih macam orang lain. sebab penat kami berakhir bila tiba takbir raya aidilfitri tiba. Terima kasih ayah besarkan kami. Mungkin banyak yang kurang tapi kekurangan itulah yang banyak mengajar kami berdikari. Terima kasih emak. Emak paling banyak berkorban hidup bersama ayah. Tabah mak tidak sama dengan sabarnya kami. Allah uji dengan banyak cabaran. Segala cerita baik buruk ayah kami tahu. Walau orang caci maki ayah pun, ayah tidak pernah bawa cerita buruk tentang seseorang malah ayah marah kalau kami mencaci orang.

Innalillahi Wainnailahi Raajiun.

Moga Allah ampunkan dosa-dosa yang pernah ayah lakukan sepanjang hidupnya di dunia. Moga arwah ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

p/s: Pernah terdengar orang kata kalau seseorang itu kena strok adalah balasan kerana pernah membuat kejahatan pada seseorang. Boleh ke kita menilai macam itu ya? Aku yang dengar pun terasa. Walau jahat seseorang itu, adakah wajar kita untuk menghukum? Wallahualam.

Saturday, February 20, 2016

Lama tak jengah

Assalamualaikum..

Lama tak jengah blog ni, mari kita ber hu hu hu sebentar..

Memandangkan ketika menaip ni, cuaca mendung² gitu ditambah plak dengan angin sejuk dingin dek kerana kesan hujan sepanjang hari semalam dan sekejap² hujan turun pada hari ini

Macam tu juga la hati aku ni, sejak dua menjak ni macam sayu je hati, hati rasa kurang ketenangan, adakah hati dan rohani aku ni makin menjauhi dariMu Ya Allah? Ayat bagi kandungan 113 pun aku dah mula lalai untuk melihatnya apantah lagi membaca. Aku sedang cari diri ini, tapi bagaimana Ya Allah?

Memandang telefon dan teknologi gajet millenium sekarang pun, bagai 'scroll' kosong... bosan..

Ada azam tapi ketekunan tiada..
Penat dengar cerita buruk orang, cerita dan aib sendiri pun Allah masih lindung..

Tak payah bersedih dan menagih rungut kalau diri sendiri tak cuba renung..

Dah la, mula sudah diri ni merapu..

Daa...

Saturday, November 23, 2013

PABILA AHLI RUMAH SAKIT....

Anugerah Pesakit Bulan November 2013

Sepanjang bulan November 2013 ni merupakan hari sakit bagi ahli rumah Rashid. Baik abahnya mahupun anaknya. Bermula abahnya yang demam sekejap surut selama 5 hari bermula. Akhirnya pergi check darah kat Klinik Kesihatan Masai, Alhamdulillah takde pun dikhuatiri denggi...

Teman abah check darah kat Klinik Kesihatan Masai

Tapi bila abahnya dah sihat sikit, anaknya pulak berjangkit. Bermula malam jumaat hingga la malam ahad dan terpaksalah cuti kecemasan (walaupun dalam perkhidmatan mana la ada cuti tu). Daripada demam jadi batuk keras, kesian tengok si kecil ni menahan sakit. Kalau boleh dipindahkan sakit tu kat aku ni memang aku pun sanggup. Hari isnin tu abah uzma hantar uzma ke Klinik Pakar Kanak-kanak, Loh Child Specialist Clinic di Johor Jaya, Jalan Dedap. Dah 2 kali pergi, alhamdulillah ubatnya memang elok.

Uzma ngan kawannya yang sama-sama sakit
Ubat Uzma - Loh Child Specialist Clinic
Memang elok ubat dari klinik ni. Cepat sembuh.

Alhamdulillah sehingga tarikh hari ni 23.11.2013, semuanya kembali normal. Cuma abahnya pulak selsema muncul kembali mungkin sebab naik motor kena hujan baru-baru ni. Aku ni pun tekak antara nak jadi batuk ke tidak. Bila rasa macam nak jadi, mulalah cari air berteguk-teguk aku minum dan paling penting vitamin C Shaklee aku telan walaupun tak la mujarab sangat tapi sedikit sebanyak ada jugak kesan sampingannya.

Oleh itu kawan-kawan, jagalah kesihatan dan permakanan terutamanya cuaca sekarang yang tak menentu ni, duduk bekerja plak dalam air-cond yang sejuk macam apa tapi bila keluar ofis cuaca panas terik. Terkejut diri ni. Paling penting kengkawan, minum air masak sentiasa. In Sha Allah, sihat.  

JAHITAN BANYAK TAPI NTAH KENAPA LA.....ish...ish...ish...


Kalau mulakan memang cepat ia jadi, kalau malas, melambak tak usik...
Sebenarnya rezeki dah Allah lorongkan untuk aku, banyak tempahan baju daripada rakan-rakan ofis, rasanya lebih 20 pasang untuk disiapkan tapi aku ni macam malasnya melampau... Alasannya sebab anak, ish ish ish... teruk macam ntah apa-apa..

Dah siap potong tapi nak mulakan jahit tu macam la payah sangat, kalau ikutkan jahit baju kurung ni, sepasang cuma 1 jam. Kalau rajin tu, sehari dah dapat 2 pasang... sebulan boleh lebih 20 pasang... hahahahah.... 

SYUAD, FIGHTING!!!!

Tuesday, November 5, 2013

SALAM MAAL HIJRAH 1435H

Assalamualaikum..

Selepas Maghrib 4 November 2013 bermula hari pertama hijrah - 1 Muharam 1434H. Kisah baru, harapan baru, pengalaman baru.

Moga tahun ini segala urusan kita dipermudahkan, lebih taat aku kepada Allah sebagai hamba-Nya, diberkati dan dirahmati Allah. 

Aku mengharapkan (sememangnya setiap tahun harapan yang sama) rezeki dipermudahkan dan dimurahkan dari Allah. Allah duga aku dengan ditarik kembali rezeki yang aku dapat sebelum ini (memang dugaan yang ku rasa berat bagi aku yang berpendapatan sederhana) akibat kecuaian aku sendiri. 

Buangkanlah segala ion-ion negatif yang dah melekat kat jiwa (my soul) aku ni.

Paling penting bertambah-tambahlah kesejahteraan dan kebahagiaan, bertambah-tambah sayang aku bersama pasanganku, Mohamed Rashid bin Mohamed Taib serta anakku tersayang Uzma Syafiah binti Mohamed Rashid dan tanggungjawabku kepada ibuku yang sorang ni, Sarah binti Zainal serta saudara mara kandungku, ipar duaiku dan saudara maraku.

Yang paling penting, saya nak kurus, saya nak cantik... hahahahahhaha

Mampu ke? In sha Allah

Monday, November 4, 2013

Penghujung Tahun Hijrah 1434

Assalamualaikum...

Kejap je masa berlalu, pejam celik, senyum tangis, suka duka, marah sayang, dah kita di akhir tahun 1434H, makanya dah nak masuk umur 32 lepas ni.. Banyak sangat azam setiap tahun dan banyak jugak tunggakan azam yang belum dilangsaikan. Nak jadi lebih baik la, nak berubah itu ini la, nak lebih positif la, nak buang sikap yang buruk la tapi jenis aku ni lebih banyak hangat-hangat tahi kucing, huhuhu... Kalau hangat-hangat tahi ayam, lama-lama boleh gak jadi baja, ni taik kucing lama-lama orang menyumpah... hahahahah

Apepun, moga di penghujung tahun hijrah 1434 ni dapatlah muhasabah diri tentang kelemahan, keburukan yang telah dilalui, dilakukan pada diri sendiri. Memang terlalu banyak. Renungi diri, Insafi Peribadi.

Di akhir tahun hijrah 1434 ini, marilah kita bersama baca doa ini:

DOA AKHIR TAHUN



Doa Akhir Tahun
Doa akhir tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah. Dengan izin Allah, sesiapa yang membaca doa ini akan mendapat perlindungan Allah S.W.T dari fitnah dan tipu daya syaitan serta mendapat setahun keampunan dosa yang lalu.

Sumber daripada carian google: http://misskinuko.blogspot.com/2012/11/salam-maal-hijrah-1434.html
Terima kasih, Moga Allah permudahkan segala urusan :D
 

Monday, September 23, 2013

Selamat Pengantin Baru~~~ Along

Selamat Pengantin Baru Along dan Kak Long
20 September 2013 / 14 Zulkaedah 1434H

Semoga Kekal hingga ke syurga hendaknya 
Selesai Akad Nikah
Tahniah Along, jalani tanggungjawab sebagai suami dan in sha Allah sebagai bapa yang baik
Biarlah apa pun cabaran yang telah dilalui sebelum tibanya majlis, in sha Allah selepas ini rumahtangga diberkati dan dirahmati Allah sentiasa...

Monday, August 12, 2013

Besuka suki bersama Uzma

Post jap masa makan kat open house MB Tok Khaled Nordin
Al-maklum tahun ni raya x berapa nak raya, 1st petang raya tu dah balik semula di kampung Uzma berikutan abah Uzma terpaksa menghempas pulas tulang empat keratnya mencari rezeki dek kerana kompeni tempat kerja abah kena minor shut down akibat blackout hujung-hujung ramadhan, maka cuti terpaksa dibekukan. Kalau tak production x jalan. (gitula cite sedih abah).
 
Sepanjang 5 syawal ni
 
1st Raya - beraya rumah mak sarah di Felda Sungai Sibol
 
2nd Raya - beraya rumah Uzma 
 
3rd Raya - beraya rumah kak anjang / abg yunus / putra di Batu Pahat
 
Abam putra yang pemalu nak amek gambo sesama...
 4th Raya - pergi open house MB YAB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin 
kat Stadium Tertutup Pasir Gudang

1st time beraya open house orang-orang besar ni, menakutkan. Bukan ape, susah betul nak makan. rasanya ini la last pegi tempat macam ni. Ada yang berebut-rebut (Sebab yang arranged tu x reti nak handle). Pegi sana pun bukan nak makan sangat, nak tengok MB baru kita ni depan mata. Tengok dia layan orang ramai pun macam penat je, nak wat camne kan.
Blur plak gambo (teringat kat arwah ayah plak bila gambo sebelah MB ni)

Salam Eid Mubarak 1434H / 2013

Selamat hari raya aidilfitiri 1434H / 2013M

 Maaf Zahir Batin

Moga perayaan kali ini disambut dengan penuh kesyukuran

Thursday, July 11, 2013

Salam Ramadhan Al- Mubarak 1434H/2013

Salam Ramadhan Al-Mubarak 1434H


Buat semua, semoga Ramadhan kali ini kita mendapat keberkatan dari-Nya dan perbanyakkan amalan solat dan bersedekah serta berzakat.


Ertinya:"Wahai orang-orang beriman diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana yang telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, moga-moga kamu bertaqwa'
(Surah Al-Baqarah Ayat 183 (QS2:183)



Ertinya:"Dan dirikanlah kamu akan solat dan keluarkanlah zakat dan ruku'lah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang yang ruku'
(Surah Al-Baqarah Ayat 43 (QS2:43)



PERKONGSIAN ILMU - Rezeki yang diberkati

Assalamualaikum w.b.t,

Hari ini saya pelajari sesuatu, dapat maklumat berkenaan dengan rezeki yang tak putus-putus. Antara amalan yang perlu dilakukan:-

1) Amalkan Solat Dhuha

2) Baca ayat ini selepas solat fardhu, seelok-eloknya 3 kali

Ertinya : Sesungguhnya inilah rezeki Kami kepada kamu yang tidak sehabis-habisnya.
Surah Saad Ayat 54 (QS. 38:54)
 
tapi jangan lupa, kita kena berusaha juga untuk mendapatkan rezeki dari-Nya. Jangan mengharap pada doa tanpa usaha, kan?
 
Wallahu'alam.

Friday, June 7, 2013

PERISTIWA ISRA' MIKRAJ

Assalamualaikum w.bt.

Salam 27 Rejab 1434H. Peristiwa Isra' Mikraj merupakan perjalanan luar biasa Rasulullah dari Masjidil Haram ke Masdil Aqsa dengan menunggang Buraq dan menyaksikan peristiwa-peristiwa ghaib. Kemudian didatangi Mikraj (tangga yang indah) untuk ke syurga menemui Allah s.w.t. melalui langit.

Peristiwa 27 Rejab ini juga merupakan rayuan Rasullullah untuk mengurangkan solat daripada 50 waktu kepada 5 waktu (namum ganjarannya sama seperti menunaikan solat 50 waktu). Baginda merayu sebanyak 9 kali (setiap kali rayuan 5 waktu dikurangkan)... Bila turunnya Baginda daripada langit dan bercerita kepada umatnya, kebanyakkan mereka tidak percaya.

Banyak sebenarnya kisah di sebalik peristiwa 27 Rejab ini.

Bersama-sama kita menghayati sepenuhnya peristiwa-peristiwa islam.

Wednesday, June 5, 2013

SYAHDU BUAT SEORANG SAHABAT, AL-FATIHAH


الَّذِينَ Ø¥ِذَا Ø£َصَابَتْÙ‡ُÙ…ْ Ù…ُصِيبَØ©ٌ Ù‚َالُوا Ø¥ِÙ†َّا Ù„ِÙ„َّÙ‡ِ ÙˆَØ¥ِÙ†َّا Ø¥ِÙ„َÙŠْÙ‡ِ رَاجِعُونَ
Ertinya : (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa mushibah,
mereka mengucapkan:` Innaalillaahi wa innaa ilaihi raajiuun `.
Surah Al-Baqarah Ayat 156 (QS. 2:156)
(Innalillahi wa innaa ilaihi Raajiuun )
"Dari Allah kita datang, Kepada Allah kita kembali"
Mendapat berita kehilangan sahabat - Marlia binti Sihat lebih kurang jam 3.25pm pada hari isnin yang lalu (03.06.2013 - 24 Rejab 1434H) melalui laman sosial oleh seorang lagi sahabat lama. Mengejutkan. Itu perasaan yang aku rasai pada kali pertama mendapat perkhabaran itu. Pada mulanya, aku sangkakan orang lain namun ianya sebaliknya.

Tambah memilukan kehilangan sahabat ini amat sayu untuk dikenang. Kemalangan ngeri melibatkan lori pasir dan kereta Toyota Vios milik arwah. Remuk.. Terus ku bayangkan bagaimana keadaan arwah ketika menghadapi maut. Berderau darah dan menggigil... Keinsafan datang bertubi-tubi.. Mati itu pasti...

Walaupun aku bukan sahabat rapat arwah namun perwatakan dan budi bicara arwah yang ku kenal, dia seorang yang riang, ramah, tidak kedekut berkongsi cerita dan tidak memilih kawan. Kalau lihat raut wajahnya 'mungkin' nampak sedikit garang tapi sebenarnya jauh dari yang dinilai.

Pemergiannya adalah ketentuan Allah yang dah tertulis. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi setiap hamba-Nya. Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Al-fatihah

Tuesday, December 4, 2012

Aktiviti Uzma Sangat Padat~~ :D

Alhamdulillah.. Dah masuk 8 bulan uzma dilahirkan di dunia yang penuh liku kehidupan ni.. chewah... Paling penting aku dan cik abang kena didik dia sepenuhnya untuk jadi muslim, insyaAllah.. Sekarang ni pun uzma dah pandai buat macam-macam. Aktiviti harian yang dia suka sangat:-

1) Menyelar (gerak menyusur ke depan dengan lajunya)
2) Naik walker (macam pelumba negara -Zulfahmi) - paling suka sampai ke dapur
3) Gigit benda-benda yang dia dapat capai terutama 'remote control'
4) Suka main air liur sebab gigi dah tumbuh 2 batang (ada la secotet tumbuhnya)
5) Rambut halusnya tu dah mula terpacak
6) Dah pandai nak berbual (babababbaba...tataataata..)
7) Paling risau - suka angguk-angguk kepala
8) Cakar-cakar muka orang terutama kalau usik pipi dia
9) Lepas mandi kalau nak pakaikan baju punya la susah..
10) Dah pandai duduk sendiri dan merangkak dengan sendirinya(22.11.2012 - masa aku tengah berpantang)
11) Bubbling (abis air liur)
12) Minat kat orang rambut panjang (terperasan sebab dia paling suka lagu intro OST - 'adam dan hawa', boleh terbangun dari tido kalau dengar lagu tu)
13) Pandai dah tepuk tangan (Tok Nchik dia ajar sambil nyanyi lagu pok amai-amai)

Bila dah pandai macam-macam ni, memang susah nak kawal pergerakannya, perlu perhati setiap pergerakan dia.

Selamat Ulang Tahun

Pada 12 zulhijjah 1433h yang lepas, genaplah 2 tahun ikatan yang terjalin antara aku dan suami membina rumahtangga yang masih baru ini. Dikurniakan dengan seorang cahayamata perempuan, Uzma Syafiah binti Mohamed Rashid pada 9 Mac 2012. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana memberi kebahagiaan untuk kami biarpun rumahtangga pastinya ada perselisihan kecil antara faham dan pendapat. Biasalah asam garam rumahtangga kan?

Baru-baru ini kami menerima berita gembira sekali lagi aku disahkan mengandung sekali lagi namun berita ini disambut dengan kehilangannya pada 17 November 2012. Allah lebih menyayangi dia daripada aku. Mungkin itu kehendaknya untuk tidak bersama kami di bumi Allah ini. Lagipun hati aku pun berbelah bagi semasa kehadirannya pada mulanya. Entahlah. Tangisan mengalir jua bila mengetahui dia tidak bernyawa memang amat memilukan memungkinkan kecuaian aku tidak menjaganya.

Bermaksud dalam bulan ini kami merasai dua perasaan iaitu meraih kegembiraan ulangtahun perkahwinan ke-2 dan kesedihan kehilangan insan ke 2 yang sepatutnya bakal dilahirkan pada 25 Mei 2013 telah Allah kembalikan ke sisinya. Adakah kesilapanku Ya Allah? Sejak keguguran ini aku cepat naik angin dan mudah kecil hati, kenapa ya? Tabahkanlah imanku penuh taat dengan-Mu Ya Allah.

Sememangnya aku sensitif di sebalik diriku yang suka ketawa...

Wednesday, October 24, 2012

Dah lama tak jenguk blog sendiri

Assalamualaikum....

Diam tak diam, dah hampir 3-4 bulan aku tak kemaskini blog ni. Minat nak mengarang tu ada tapi disebabkan urusan masa yang kurang memberangsangkan, maka semua jadi kucar kacir. Sebenarnya banyak perkara yang timbul sepanjang tempoh 'kesenyapan' aku ni. Macam-macam cerita didengar.

Friday, April 27, 2012

Inilah sekecil kami - Uzma Syafiah binti Mohamed Rashid

Ini lah dia - Uzma Syafiah binti Mohamed Rashid

Dilahirkan pada 09.03.2012 jam 07:17 pagi di Hospital Sultan Ismail, Terbau, Johor dengan berat 3.71kg secara vacuum. Kelahiran dia memang amat kami nantikan.. tak sangka besar jugak anak kami ni. Melihat dirinya buat kali pertama, terasa bersyukur yang teramat sangat kerana akhirnya selamat dia dilahirkan di dunia ini dan memberi nikmat kami suami isteri menjadi ibu bapa selepas ini.

Walaupun kesakitan yang dialami saat beberapa jam sebelum melahirkannya, segala rasa lega lepas mendengar tangisan pertamanya. Kalau ikut pengalaman aku tanda-tanda nak bersalin:-

Keluar darah jam 10.35 malam. Selepas aku solat isyak dan nak tidur, tiba-tiba rasa lain macam. Bila periksa, ada tanda darah cair sedangkan rasa sakit langsung tiada. Terus aku hubungi mak dan mak cadangkan terus ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Kebetulan malam tu abang bekerja, aku terus hubunginya. Jam 11.30 malam kami terus ke hospital berdekatan. 

Tiba di sana, doktor periksa cuma 1.5cm baru terbuka dan diminta pulang semula. Jika ada tanda air ketuban dan kesakitan baru datang semula. Jam 3.00 pagi sampai di rumah dan abang pun masuk kerja semula. Sepanjang hari tu memang tak rasa nak tidur sebab fikir tentang darah yang sentiasa keluar walaupun sedikit. 

Keesokkan harinya, kesakitan mula terasa bermula jam 10.30 malam.. setiap lebih kurang 5 minit, memang rasa sakit berpanjangan sehingga jam 12:30 malam dan tika itu memang tak dapat tahan. Minta terus abang untuk hantar ke hospital semalam. Tiba di sana, doktor periksa, dah terbuka 3cm dan terus kena tahan wad. 

Masuk bilik bersalin jam 2.00 pagi. Jururawat uruskan semua dokumen dan peralatan. Jam 3.00 pagi, jururawat memecahkan air ketuban dan memberi suntikan untuk mempercepatkan kelahiran. Selepas dari suntikan itu, setiap 5 - 10 minit, kesakitan yang teramat sangat terasa.. hanya bertawakal sahaja masa tu.. 

Akhirnya jam 6.30 pagi, sakit yang teramat itu datang dan jam 06.50 pagi bermulalaah pertaruhan antara aku dan keadaan tegang ketika itu. Aku cuba untuk meneran tapi mungkin ilmu untuk bersalin tu tak berapa cukup, dah cuba sedaya upaya memang aku tak mampu. Doktor siap bagitau degupan jantung bayi dah lemah, akhirnya doktor terpaksa menggunakan alatan bantuan - vacuum. Beberapa minit lepas tu terdengar tangisan si kecil dan setelah dibersihkan jururawat menunjukkan wajah si kecil. Alhamdulillah, aku amat-amat bersyukur Ya Allah. Comelnya, ya dia tetap comel di mata kami.

Urusan bersalin tidak berakhir di situ. Doktor mengambil masa lebih kurang 1 jam untuk tujuan jahitan. Jam 8.15 pagi, aku diusung keluar dari bilik bersalin ke wad bersalin.

Syukur akhirnya segalanya dah selesai. 

Bersama anak kami. Syukur Alhamdulillah (Muka macam sihat sangat je aku)

Sunday, April 15, 2012

Alhamdulillah.. Selamat sudah melahirkan si kecil

Dah lama rasanya aku tidak meringankan jemari ini untuk menaip di blog ini. Maklum la pada 09.03.2012, selamatnya seorang bayi perempuan dilahirkan. Betapa bertuahnya aku menjadi seorang ibu selepas tarikh itu. Ya! Memang rasa bertuah dan bersyukur kerana Allah telah memilih aku dan suami mendapat cahaya mata sulung ini.

Pada 09.03.2012 yang lalu jam 07.17 pagi di hari jumaat selepas redanya hujan, aku telah melahirkan seorang bayi perempuan seberat 3.71kg walaupun aku lahirkannya secara vacuum disebabkan tak larat nak meneran masa tu. Memang pengalaman yang tidak dapat aku rungkaikan. Di post yang akan datang aku akan ceritakan:

1) Pengalaman saat-saat nak bersalin
2) Kurangnya pengetahuan tentang penyususan susu ibu yang betul
3) masalah-masalah yang dihadapi ketika dalam pantang ( ibu dan bayi)

beberapa hari lagi saya akan kongsikan cerita mengenai pengalaman-pengalaman di atas.