Friday, April 27, 2012

Inilah sekecil kami - Uzma Syafiah binti Mohamed Rashid

Ini lah dia - Uzma Syafiah binti Mohamed Rashid

Dilahirkan pada 09.03.2012 jam 07:17 pagi di Hospital Sultan Ismail, Terbau, Johor dengan berat 3.71kg secara vacuum. Kelahiran dia memang amat kami nantikan.. tak sangka besar jugak anak kami ni. Melihat dirinya buat kali pertama, terasa bersyukur yang teramat sangat kerana akhirnya selamat dia dilahirkan di dunia ini dan memberi nikmat kami suami isteri menjadi ibu bapa selepas ini.

Walaupun kesakitan yang dialami saat beberapa jam sebelum melahirkannya, segala rasa lega lepas mendengar tangisan pertamanya. Kalau ikut pengalaman aku tanda-tanda nak bersalin:-

Keluar darah jam 10.35 malam. Selepas aku solat isyak dan nak tidur, tiba-tiba rasa lain macam. Bila periksa, ada tanda darah cair sedangkan rasa sakit langsung tiada. Terus aku hubungi mak dan mak cadangkan terus ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Kebetulan malam tu abang bekerja, aku terus hubunginya. Jam 11.30 malam kami terus ke hospital berdekatan. 

Tiba di sana, doktor periksa cuma 1.5cm baru terbuka dan diminta pulang semula. Jika ada tanda air ketuban dan kesakitan baru datang semula. Jam 3.00 pagi sampai di rumah dan abang pun masuk kerja semula. Sepanjang hari tu memang tak rasa nak tidur sebab fikir tentang darah yang sentiasa keluar walaupun sedikit. 

Keesokkan harinya, kesakitan mula terasa bermula jam 10.30 malam.. setiap lebih kurang 5 minit, memang rasa sakit berpanjangan sehingga jam 12:30 malam dan tika itu memang tak dapat tahan. Minta terus abang untuk hantar ke hospital semalam. Tiba di sana, doktor periksa, dah terbuka 3cm dan terus kena tahan wad. 

Masuk bilik bersalin jam 2.00 pagi. Jururawat uruskan semua dokumen dan peralatan. Jam 3.00 pagi, jururawat memecahkan air ketuban dan memberi suntikan untuk mempercepatkan kelahiran. Selepas dari suntikan itu, setiap 5 - 10 minit, kesakitan yang teramat sangat terasa.. hanya bertawakal sahaja masa tu.. 

Akhirnya jam 6.30 pagi, sakit yang teramat itu datang dan jam 06.50 pagi bermulalaah pertaruhan antara aku dan keadaan tegang ketika itu. Aku cuba untuk meneran tapi mungkin ilmu untuk bersalin tu tak berapa cukup, dah cuba sedaya upaya memang aku tak mampu. Doktor siap bagitau degupan jantung bayi dah lemah, akhirnya doktor terpaksa menggunakan alatan bantuan - vacuum. Beberapa minit lepas tu terdengar tangisan si kecil dan setelah dibersihkan jururawat menunjukkan wajah si kecil. Alhamdulillah, aku amat-amat bersyukur Ya Allah. Comelnya, ya dia tetap comel di mata kami.

Urusan bersalin tidak berakhir di situ. Doktor mengambil masa lebih kurang 1 jam untuk tujuan jahitan. Jam 8.15 pagi, aku diusung keluar dari bilik bersalin ke wad bersalin.

Syukur akhirnya segalanya dah selesai. 

Bersama anak kami. Syukur Alhamdulillah (Muka macam sihat sangat je aku)

Sunday, April 15, 2012

Alhamdulillah.. Selamat sudah melahirkan si kecil

Dah lama rasanya aku tidak meringankan jemari ini untuk menaip di blog ini. Maklum la pada 09.03.2012, selamatnya seorang bayi perempuan dilahirkan. Betapa bertuahnya aku menjadi seorang ibu selepas tarikh itu. Ya! Memang rasa bertuah dan bersyukur kerana Allah telah memilih aku dan suami mendapat cahaya mata sulung ini.

Pada 09.03.2012 yang lalu jam 07.17 pagi di hari jumaat selepas redanya hujan, aku telah melahirkan seorang bayi perempuan seberat 3.71kg walaupun aku lahirkannya secara vacuum disebabkan tak larat nak meneran masa tu. Memang pengalaman yang tidak dapat aku rungkaikan. Di post yang akan datang aku akan ceritakan:

1) Pengalaman saat-saat nak bersalin
2) Kurangnya pengetahuan tentang penyususan susu ibu yang betul
3) masalah-masalah yang dihadapi ketika dalam pantang ( ibu dan bayi)

beberapa hari lagi saya akan kongsikan cerita mengenai pengalaman-pengalaman di atas.

Friday, February 24, 2012

minggu ke 36 + 37

Alhamdulillah~~ Kini usia kandunganku masuk 36 minggu 5 hari.. Maka pada hari khamis depan genaplah 37 minggu 3 hari (9 bulan 10 hari).. Debaran makin terasa dan yang pastinya ‘excited’ pun ada. Namun disebabkan keputusan ‘scan’ pada ahad lepas doktor menyatakan bayi aku besar 2 minggu (pada 36 minggu, bayi dalam kandungan ni dah besar 38 minggu), aku dan abang dah mula rasa risau... Takut susah nak bersalin setelah mendengar cerita dari doktor kemungkinan buruk akan berlaku kalau anak ni besar berdasarkan beberapa pengalamannya.


Bayi kami besar
Kalau ikut logik, ada kemungkinan bayi ini besar disebabkan aku ni ada kencing manis (diabetes). Besar ke anak abah ibu ni? Malam selepas kami jumpa doktor, aku memang tak boleh tidur.. Asyik gelisah.. Apa pulak dugaan kali ini agaknya.. Sambil usap-usap perut ni, asyik minta maaf kat anak abah ibu sebab buat dia macam tu. Tapi aku mohon sangat pada-Mu Ya Allah, Moga anak kami ini sempurna dan sihat hendaknya. Mungkin salah aku tak jaga makan, tapi jangan la hukum anak kami ini.

Disebabkan kerana risau anak kami ni besar, aku siap usap-usap perut ni sambil bagi perangsang pada dia “Kuar cepat-cepat ye…”. Boleh gitu? Huhuhu… Apapun semuanya Allah punya kuasa. DIA Maha Mengetahui mana yang terbaik untuk kami. Tapi yang seronoknya, semasa membuat imbasan tersebut, aku dapat lihat wajahnya walaupun hitam putih.. Tombamnya anak abah ibu ni.. Sedap je dia duduk dalam pewot ni ek.. Geram tengok.. (sebab tu tak sabar nak tunggu dia keluar)..


Rekahan Perut
Erm… Entah apa silapnya, perut aku merekah hebat terutama di bahagian bawah perut. Baru aku perasaan beberapa hari lepas, ada garisan kebiruan di bahagian itu. Patutlah kulit aku makin kegatalan… Bila aku mula rasa nak mengaru, aku cuma gosok-gosok lembut takut bayi kami tidak selesa kerana aku perasan jika aku gosok-gosok sedikit pun dia mula bergerak sambil menunjukkan mungkin siku, genggamannya dan kakinya…


Kesimpulan bagi kandungan ku kini:-
1) Imbasan Bayi – Doktor maklumkan anak kami besar lebih 2 minggu dan risiko-risiko yang akan berlaku. Dinasihatkan rujuk Pakar.

2) Rekahan perut (Stretch Marks) – Mula kelihatan pada minggu ke 35, entah apa silapnya kerana sebelum ini perut ini ok saja tetapi sejak dua menjak ni, perut mula rasa gatal dan Nampak sangat garisan-garisan Stretch Marks ini muncul dan lebih mengejutkan aku, rupanya banyak di bawah perut dengan kesan kebiruan. Mungkin aku tak sapu sepenuhnya Cream Buttercocoa.