Wednesday, January 25, 2012

SAKIT LAIN PULAK DATANG.. DUGAAN

Aku bukan nak merungut, tetapi sakit ini datang membuatkan aku rasa benar-benar dugaan ini menguji tika aku melalui pengalaman mengandung pada kali pertama. Memang aku sangat-sangat bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan pada aku, jika dibandingkan dengan rakan-rakan aku ada juga yang masih berharap. Rezeki ini Allah lebih mengetahui, kan? Antara lambat atau cepat sahaja.

Berbalik cerita tentang ujian aku kali ini, serangan sakit kali ini diuji di bahagian kaki. Memang sakit. Kebas, rasa pijar (seperti terkena lada), rasa terbakar dan perit. Rasa ini datang awal bulan Januari 2012 lepas. Ketika aku sedang masak untuk makan malam, mungkin kerana lama berdiri dan tidak beralaskan apa-apa di tapak kaki, tiba-tiba di bahagian sendi antara peha dan bawah perut, satu rasa kesakitan yang tidak jangka dirasai. Amat memeritkan. Aku kuatkan hati untuk menahan rasa tersebut dengan duduk sebentar sambil ku urut dan tumbuk-tumbuk kecil di kawasan tersebut. Lama kelamaan ia hilang sendiri.

Pada 9 Januari 2012 ketika aku menghadiri kursus di IKWAS, perkara yang sama berulang ketika aku dan rakan pejabat sedang berjalan untuk membeli sedikit keperluan di kompleks membeli-belah. Mungkin dalam masa 20 minit berjalan, tiba-tiba sakit itu datang kembali. Kali ini lebih terasa keperitannya sehingga rasa seperti lumpuh di kawasan tersebut. Berpeluh-peluh menahan sakit. Bila rakan bertanya, aku cuba berlakon seperti tiada apa-apa sambil menetuk-ngetuk kaki itu lalu aku berselindung di kawasan yang lain untuk menahan rasa sakit. Dalam hati cepatlah bergerak untuk pulang ke asrama. Menangis dalam hati Allah sahaja yang tahu sambil mengadu pada anak yang ku kandung, "Maaf ye anak abah ibu, ibu tengah sakit sangat ni." Akhirnya aku mengadu pada abang.

Selepas peristiwa itu, sakit itu datang lebih kerap terutama bila aku berjalan tidak sampai 30 minit, duduk di kawasan yang rata, menjahit dan berdiri lama. Aku cuba dapatkan maklumat tentang rasa sakit ini melalui internet dan akhirnya beberapa persoalan terjawab.

Terima kasih kepada blog http://drzubaidi.com/blog/?p=1500

Cuma sekarang aku tunggu masa check-up jumpa doktor pada 30.01.2012 ini untuk bertanya lebih lanjut.
Yang pasti, aku harapkan anak yang aku kandungkan ini sentiasa selamat, sempurna dan sihat. Mungkin ini pengorbanan yang kecil untuk anak abah ibu tersayang. Ibu minta maaf kalau ibu tidak sekuat ibu-ibu yang lain.

Thursday, January 5, 2012

CARTA PERGERAKAN BAYI

Carta Pergerakan Bayi


Pada 02.01.2012 yang lepas untuk temujanji dengan doktor, beliau menyuruh aku untuk mulakan pengiraan pergerakan bayi kerana kandungan telah masuk 7 bulan.

Kiraan bermula jam 9.00 pagi hingga 8.00 malam. Dalam tempoh tersebut bayi mempunyai pergerakan sebanyak 10 kali atau lebih dan perlu mencatatkan masa pergerakan ke 10. Mengikut penerangan doktor, setiap pergerakan dikira setiap kali bayi bergerak banyak dan berhenti seketika dalam tempoh tertentu. Jika bayi bergerak 2 - 3 kali dalam masa 1 jam, ia boleh dikira sebanyak 3 kali.

Contoh:-
Bayi bergerak jam 9.10 pg dan berhenti jam 9.12pg - dikira pergerakan pertama.

Bayi bergerak lagi jam 9.30pg dan berhenti jam 9.31 pg - dikira pergerakan yang ke 2.

Bayi bergerak lagi jam 9.55 pg dan berhenti ham 9.57 pg - dikira pergerakan yang ke 3.

Jadi, perlulah ditandakan (/) pada carta pergerakan bayi dalam buku kesihatan ibu mengandung yang diberikan oleh Klinik Kesihatan. Pemantauan Pergerakan Bayi ini perlu bagi memastikan bayi dalam keadaan sihat dan bernyawa. Lebih-lebih lagi macam aku ni yang mengidap diabetes, pergerakan ini memang perlu dipantau dan diberi pengawasan sepenuhnya keran dikhuatiri bayi lemas atau lemah.

Jika dalam tempoh masa 12 jam kiraan tersebut, pergerakan bayi kurang 10 kali, ibu perlu SEGERA ke hospital berdekatan.

Tuesday, January 3, 2012

TEMU JANJI DAN IMBASAN BAYI BAGI TAHUN 2012

Temujanji di Klinik Kesihatan bagi tahun 2012


Ikut kiraan kehamilan, minggu ini telah masuk minggu ke 29 aku membawa bayi kami di dalam perut ini. Maknanya aku dah masuk 7 bulan bergelar ibu mengandung. Bila dah masuk bulan ke 7, pemeriksaan ke klinik adalah lebih kerap iaitu 2 minggu sekali berbanding sebelum ini cuma 1 kali sebulan (bagi mereka yang tiada apa-apa masalah kesihatan ketika mengandung).


Alhamdulillah, semalam pergi check-up, doktor katakan bayi dalam keadaan sihat dan ukurannya pun sempurna. Nadi jantungnya bergerak normal malah gerakannya juga kian aktif. Bermula minggu ini, doktor menyuruh aku membuat kiraan pergerakannya. Dianggap normal jika gerakannya melebihi 10 kali dari tempoh masa 9.00 pagi hingga 9 malam. Memandangkan aku pengidap diabetes, doktor menekankan kiraan ini perlu dipantau lebih kerana takut terjadi apa-apa sekiranya kiraan gerakan bayi kurang 10 kali dari tempoh masa yang diberi dan terus rujuk ke hospital jika ianya berlaku.


Setelah doktor memberi penerangan, aku diberikan 4 temujanji bagi bulan Januari 2012 dan Februari 2012. Berikut adalah temujanjinya:-


16.01.2012 – Temujanji bulanan dengan staff nurse (SN)


27.01.2012 – Ujian BSP (4 kali) – Kena ambil cuti lagi


*selalunya kena jumpa doktor setelah buat ujian BSP.


30.01.2012 – Temujanji dengan doktor (MO/DR)


20.02.2012 – Jumpa doktor pakar (FMS)


Setelah diberikan tarikh temujanji, aku diberikan suntikan kancing gigi (kali pertama) yang memang perlu diberi kepada setiap ibu yang megandung. Suntikan ke dua akan diberikan bila kandungan masuk 8 bulan.


Berikut keputusan imbasan yang telah aku lakukan sepanjang tempoh kehamilan ini:-


21.11.2011 - Ikut ukuran baby, doktor kata saiznya besar dan mungkin akan berubah bila dah masuk bulan ke 8 atau mungkin ikut keturunan belah abang yang jenis besar dan tinggi. Due date : 06.03.2012


02.01.2012 - Ukuran, degupan jantung dan pembentukan tulang normal. Due date: 16.03.2012


21.01.2012 - Ada temujanji untuk dapatkan detail tentang perkembangan bayi kami. :D