Thursday, November 8, 2018

TIPS TEMU DUGA DI JABATAN KERAJAAN

Assalamualaikum.

Ok, mesti ramai ingin mencuba untuk memasuki sektor kerajaan. Di sini nak bagi sedikit tips tentang temu duga di jabatan kerajaan. Pengalaman menghadiri temu duga sebagai Penolong Pegawai Tadbir Gred N29 sebanyak 3 kali ini memang membuka mata terutamanya temu duga kali ke 3 ini. Sedia maklum, aku sekarang telah bekerja di sektor kerajaan sebagai Pembantu Tadbir (P/O) Gred N19 selama 12 tahun. Jadi kenapa masih lagi tidak berjaya melepasi temu duga ini? Ini bukan isu ko ada cable ke apa. Benda ni memang paling pantang dalam hidup aku. Ini isu diri sendiri sebenarnya.


Persediaan awal
Jika kita lepas sampai ke tahap untuk ditemu duga dikirakan kita sangat bertuah melepasi beberapa ujian sebelum ini. Antara persediaan awal yang perlu dilakukan adalah:-

1) Belajar bercakap perkenalkan diri - ini nasihat panel pada aku. Untuk persediaan awal, bagi meningkatkan keyakinan diri, cuba bercakap depan cermin atau minta bantuan sesiapa yang rapat menemu duga anda. 

Belajar menghargai diri. Lihat kelebihan diri dan hargai diri. Ini bukan isu bodek tetapi kena tahu apa kelebihan yang diri kita. Contoh: tugasan kita sekarang apa yang boleh dibanggakan. Mampu menyelesaikan tugasan dalam tempoh yang ditetapkan.

Yang saya nampak sebenarnya, apa yang kita nyatakan dalam resume itulah yang sepatutnya kita cerita masa temu duga nnt. Jadikan point apa yang kita sediakan dalam resume tu untuk kita cerita tentang diri kita.

Panel pun bagi teguran, sebenarnya bukan isu pandai bahasa Inggeris tetapi cara kita sampaikan kepada panel tentang keyakinan yang kita ada.

2)  Tahu isu semasa - ambil tahu dan baca info terkini terutama tentang pengurusan yang kerajaan buat sekarang. Sebagai contoh macam temu duga kali ini tentang Belanjawan 2019 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan di Parlimen pada 2 November lalu.

Untuk penjawat awam yang sedia ada, cuba ambil tahu tentang kerja semasa dan tentang perintah-perintah kerajaan.

3) Lagi satu, jawatan-jawatan penting kerajaan yang perlu kita ambil tahu. Contoh siapa PM kita, KSN kita dll.

Sebenarnya persediaan mental itu lebih menguasai diri kita semasa temu duga, di situ kita akan rasa yakin atau tidak.


Selamat mencuba.


Friday, August 10, 2018

FIBROADENOMA: Penyakit dalam diam (hormon estrogen berkait dengan tisu badan)

Assalamualaikum wbt,

Memandangkan lama tak menaip di blog sendiri, rasanya pelbagai cerita, kisah diri pun hadap tanpa sedar. Manusia ni kadang-kadang cepat berubah mood dia, ada masa baik, ada masa sebaliknya.



FIBROADENOMA

Sumber Google - Wikipedia: Tisu yang berkumpul menjadi FIBROADENOMA


Pernah terdengar tak atau terbaca sakit ini? Berbalik pada tajuk pos ni pun, tentang penyakit dalam diam ni berkenaan dengan hormon badan wanita. Sebenarnya tentang diri sendiri. Beberapa bulan sebelum hadirnya tahun 2018, memang rasa sedikit sakit di dada sebelah kanan seperti berdenyut terutama bila situasi tertekan atau marah dalam diam. 

Pada awal tahun 2018, mungkin disebabkan tekanan tempat kerja serta emosi yang kurang stabil, sakit ni semakin kerap terjadi. Antara tanda-tanda awal yang dialami:

1) Berdenyut (rasa bagai satu salur di bahagian dada ditarik halus)
2) Kerap lenguh keseluruhan tangan.
3) Cepat rasa kurang sabar dan ada masa cepat melenting
4) Rasa sangat letih terutama bila selesai melakukan kerja harian.

 Mula-mula fikir, ada sakit jantung ke? Tapi peliknya sebelah kanan. Jantung sebelah kiri. Pelbagai soalan bermain kat kepala ni. Nak dijadikan cerita, tuhan tunjuk dimanakah sakit tu bertapak. Pada awal bulan Februari 2018, muncullah ketulan kecil di sekitar dada ni. Mula rasa panik. Ada kanser ke? Kebetulan badan masa tu rasa sangat tak bermaya dan letih. Ambil keputusan buat urutan tradisional. Masa berurut tu, kak bidan pun tak berani nak kata, takut itu kanser. Nasihatkan aku untuk jumpa doktor sakit puan. Hati dah mula rasa nak nangis sebenarnya. Nak mati ke aku ni.

 
Sumber google: Sama la kedudukan 'lump' di situ..


Beberapa hari selepas tu, terus pergi ke klinik ibu dan anak - Klinik Rabisyfina  (Taman Rinting, Pasir Gudang). Suka doktor ni, sebab sejak dari mengandung pertama, gugur anak ke dua sampailah ke masalah wanita. Nasihat dan penerangan doktor ni memang jelas. Tak lama je dia periksa, terus dia kata "Ini Fibroadenoma, bukan kanser, sebab ketulan tu bergerak-gerak. Jangan risau." Ini info sedikit yang aku faham apa yang diterangkan:

1) Berkait dengan hormon estrogen. Perbentukan hormon untuk menjadi susu di tisu badan tu terkumpul di bahagian tersebut. Kira macam tersumbat lah, berkumpul sampai jadi ketulan.
2) Berkait dengan gaya hidup dan pemakanan. (kurang senam dan kurang makan makanan serat seperti buah dan sayuran)

Belum ditanya apa cara nak hilangkan, doktor terus kata "memang kena buang secara pembedahan kecil". Suami menyampuk, "kalau tak bedah tak boleh ke?". Tersenyum doktor tu, "tak boleh, memang kena bedah, takut makin membesar. Memang ada kes dia boleh mengecil sendiri tapi lebih elok buang."

Sumber Google: Ngeri pula tengok jarum tu.

Memang tabik doktor ni, dia bersungguh carikan klinik pakar sakit puan. Siap cari alamat doktor yang sesuai untuk buat pembedahan tu. Cari doktor wanita pulak tu. Rasa sangat berterima kasih. Moga Allah rahmati doktor.

Bulan April hari tu dah pun rujuk doktor pakar. Dia memang sahkan sakit aku ni sama apa yang doktor Klinik Rabisyfina tu kata. Kena buat pembedahan. Besar ketulan tu pun sebesar duit 50sen lama. Doktor pakar pun kata minor sugery je.. sehari dah siap. Anggaran kos dalam RM3,000.00

Tapi sampai sekarang aku tak bedah. hahahaha.. bukan sebab takut tapi suami hubungi ejen insurans, dia kata insurans tak lindung jika pembedahan tak buat bila pesakit tak bermalam di hospital. adoilah... Nak telefon klinik tu balik , punyalah berlengahnya aku ni... 

Nak baca lebih lanjut tentang sakit ni boleh ke link 

Baiklah, kalau dah jadi aku dah bedah, akan diceritakan kisah di pos seterusnya ya.

Sekian, terima kasih.



Thursday, March 10, 2016

Genap 9 tahun

Bismillahirrahmanirrahim...
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang)

Aku terima mesej di pagi jumaat daripada akak tentang ayah sedang sakit dan telah dirawat di Hospital Kulai kerana serangan strok (angin ahmar). Terus aku telefon dia dan marah "kenapa benda ni boleh lambat bagi tau?"

Fikiran aku kosong, sebak aku bila beritahu Kak Liza dan Ayu, rakan seunit tempat kerja. Jam baru menunjukkan 10 pagi tapi aku bagai tidak keruan. Mungkin Kak Liza perasan keadaan aku masa tu. "Pergi lah balik Nurrul, minta izin dengan En.Rosle.." pujuk dia.. Dengan perasaan sedih yang tidak dapat ditahan, semasa minta izin untuk kecemasan pulang ke kampung, air mata mula mengalir. "Encik Rosle, saya minta izin balik kampung, ayah saya masuk hospital." "Ok.. ok.. Nurrul, pergi la..." ujar Encik Rosle setuju.

Rakan seunit, Pak Lah bantu aku hantar ke stesen ERL Putrajaya. Dalam ERL sepanjang perjalanan ke KL aku menangis tidak henti. Bergegas ke Puduraya dan mendapatkan tiket bas ke Johor Bahru. Entahlah, sakit ayah kali ini sedihnya lain macam sedangkan dahulu semasa aku bersekolah lebih tiga kali melihat ayah rebah disebabkan sakit strok ini.

Dalam jam 4.00 petang lebih kurang aku sampai di Hospital Kulai, tunggu sehingga waktu melawat. Sebelum itu jumpa akak di sana dan berehat di surau hospital untuk tunaikan solat. Tiba waktu melawat dibenarkan, sampailah tiba di katil ayah, Allahuakbar... Mata ayah bengkak, tidak boleh bercakap, dan kaku sebelah kiri badannya. Kami memberi salam ayah cuma mengangguk dan mengusap kepalanya beberapa kali. Waktu inilah semuanya berkumpul kecuali along yang masih di Perak.

Sepanjang kami bercakap ayah hanya mengusap rambutnya beberapa kali dan memegang hujung baju kemeja. Mungkin dia mahu bercakap sesuatu tapi tidak mampu. Anak lelakinya membersihkan bajunya dan semasa inilah kali pertama aku mengurut kepalanya dan berkata hatiku, lembutnya rambut ayah. Semasa makanan sampai, aku menyuapkan makanan kepadanya.

Ya!! Itulah kali terakhir aku suapkan ayah dan itulah hari terakhir aku ratap wajah ayah ketika dia hidup. Pengalaman ini lama berlalu, kini 1 Jamadilakhir 1437h genaplah 9 tahun ayah pergi tinggalkan kami. Hidup dengan ayah sepanjang 26 tahun, macam-macam pengalaman dirasai. Terlalu banyak kenangan terutama bila tiba bulan ramadhan, bantu dan teman mak ayah jahit baju sama-sama sambil dari pagi, malam sampailah tiba waktu sahur. itulah rezeki mewah kali untuk bulan syawal. Pagi syawal memang jarang kami raih macam orang lain. sebab penat kami berakhir bila tiba takbir raya aidilfitri tiba. Terima kasih ayah besarkan kami. Mungkin banyak yang kurang tapi kekurangan itulah yang banyak mengajar kami berdikari. Terima kasih emak. Emak paling banyak berkorban hidup bersama ayah. Tabah mak tidak sama dengan sabarnya kami. Allah uji dengan banyak cabaran. Segala cerita baik buruk ayah kami tahu. Walau orang caci maki ayah pun, ayah tidak pernah bawa cerita buruk tentang seseorang malah ayah marah kalau kami mencaci orang.

Innalillahi Wainnailahi Raajiun.

Moga Allah ampunkan dosa-dosa yang pernah ayah lakukan sepanjang hidupnya di dunia. Moga arwah ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

p/s: Pernah terdengar orang kata kalau seseorang itu kena strok adalah balasan kerana pernah membuat kejahatan pada seseorang. Boleh ke kita menilai macam itu ya? Aku yang dengar pun terasa. Walau jahat seseorang itu, adakah wajar kita untuk menghukum? Wallahualam.