Bila menyebut tentang jodoh, pastinya kita akan memikirkan tentang alam perkahwinan dan membina sebuah keluarga sehinggalah mengharapkan zuriat yang soleh dan solehah, sempurna dari segi akal dan fizikalnya... Akan tetapi semestinya kita tidak boleh menolak segala kemungkinan jodoh yang telah Allah tetapkan untuk kita. Ada yang mungkin sehingga hari ini, masih tercari-cari, ada juga yang belum sampai ke ikatan yang sah dan ada juga yang berpisah walaupun telah lama membina mahligai ini.
Kenapa agaknya tiba-tiba aku ingin bercerita tentang jodoh pada hari ini? Entahlah... Hati ini tiba-tiba rasa sebak bila mendengar cerita dari kawan rapat aku sendiri.. Sayu sangat-sangat terasa hingga menusuk jiwa ini. Ianya terjadi bila timbulnya simboliknya perkataan 'restu'...
Menarik nafas panjang dan dalam aku hari ini. Mendengar kisah sedih sahabatku, menginsafkan diri aku seketika. Perhubungan tidak direstui ibu pihak lelaki!!! Aduh!! Sakitnya jiwa ini terasa. Perhubungan cinta yang terjalin lebih 5 tahun, merancang untuk bertunang tahun hadapan, tiba-tiba hampir musnah pabila hasrat itu ditentang secara lembut tetapi sakit oleh ibu si lelaki.. Ya Allah! Besarnya dugaan yang Kau berikan pada sahabatku ini. Aku cuma mampu menangis, mendengar dan menasihatkannya agar sentiasa sabar, terus bertahan dengan hubungan ini. Usaha sedaya yang mungkin untuk melembutkan hati bakal ibu mentua ini... Segala penolakan adalah semuanya disebabkan terlalu memikirkan kesempurnaan fizikal. Pada aku, sahabatku ini sempurna, tiada apa yang kurang. Entahlah.. Lain orang lain pandangan..
Cuma aku mohon agar dia tetap tabah, masih ada ruang untuk memperbetulkan keadaan dan persepsi si ibu yang hanya mendengar kata-kata orang yang kurang memikirkan kesinambungan perasaan dan kasih sayang berlandasan pengertian tanggungjawab. Ini juga ada sebagai satu ikhtibar untuk aku, sesungguhnya tiada yang sempurna di dunia ini dan aku teringat akan kata-kata ini:-
“Dalam soal membina berumahtangga, janganlah terlalu memilih dan hanya mencari yang paling sempurna. Jika kita mahu yang paling sempurna, apabila kita membuat keputusan untuk menerima seseorang, kita menganggapnya sebagai seorang yang sempurna. Jika rumahtangga dibina atas kesempurnaan, kita tidak jangka sebarang kekurangan dan selepas berumah tangga, hanya kekurangan isteri/suami yang sering terlihat di mata. Terimalah seseorang seadanya. Kebaikannya disyukuri, kekurangannya diredhai”
Yang paling ku harapkan, moga sinar kebahagiaan akan dikecapi oleh pasangan sahabatku ini, direstui kedua belah pihak dan paling penting dirahmati oleh Allah swt hendaknya. Sesungguhnya, kasih sayang dari ibu bapa kita adalah lebih besar... Kerana tanpa mereka, mungkin kita tidak akan berdiri dan hidup sehingga kini...