Bismillahirrahmanirrahim...
(Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang)
Aku terima mesej di pagi jumaat daripada akak tentang ayah sedang sakit dan telah dirawat di Hospital Kulai kerana serangan strok (angin ahmar). Terus aku telefon dia dan marah "kenapa benda ni boleh lambat bagi tau?"
Fikiran aku kosong, sebak aku bila beritahu Kak Liza dan Ayu, rakan seunit tempat kerja. Jam baru menunjukkan 10 pagi tapi aku bagai tidak keruan. Mungkin Kak Liza perasan keadaan aku masa tu. "Pergi lah balik Nurrul, minta izin dengan En.Rosle.." pujuk dia.. Dengan perasaan sedih yang tidak dapat ditahan, semasa minta izin untuk kecemasan pulang ke kampung, air mata mula mengalir. "Encik Rosle, saya minta izin balik kampung, ayah saya masuk hospital." "Ok.. ok.. Nurrul, pergi la..." ujar Encik Rosle setuju.
Rakan seunit, Pak Lah bantu aku hantar ke stesen ERL Putrajaya. Dalam ERL sepanjang perjalanan ke KL aku menangis tidak henti. Bergegas ke Puduraya dan mendapatkan tiket bas ke Johor Bahru. Entahlah, sakit ayah kali ini sedihnya lain macam sedangkan dahulu semasa aku bersekolah lebih tiga kali melihat ayah rebah disebabkan sakit strok ini.
Dalam jam 4.00 petang lebih kurang aku sampai di Hospital Kulai, tunggu sehingga waktu melawat. Sebelum itu jumpa akak di sana dan berehat di surau hospital untuk tunaikan solat. Tiba waktu melawat dibenarkan, sampailah tiba di katil ayah, Allahuakbar... Mata ayah bengkak, tidak boleh bercakap, dan kaku sebelah kiri badannya. Kami memberi salam ayah cuma mengangguk dan mengusap kepalanya beberapa kali. Waktu inilah semuanya berkumpul kecuali along yang masih di Perak.
Sepanjang kami bercakap ayah hanya mengusap rambutnya beberapa kali dan memegang hujung baju kemeja. Mungkin dia mahu bercakap sesuatu tapi tidak mampu. Anak lelakinya membersihkan bajunya dan semasa inilah kali pertama aku mengurut kepalanya dan berkata hatiku, lembutnya rambut ayah. Semasa makanan sampai, aku menyuapkan makanan kepadanya.
Ya!! Itulah kali terakhir aku suapkan ayah dan itulah hari terakhir aku ratap wajah ayah ketika dia hidup. Pengalaman ini lama berlalu, kini 1 Jamadilakhir 1437h genaplah 9 tahun ayah pergi tinggalkan kami. Hidup dengan ayah sepanjang 26 tahun, macam-macam pengalaman dirasai. Terlalu banyak kenangan terutama bila tiba bulan ramadhan, bantu dan teman mak ayah jahit baju sama-sama sambil dari pagi, malam sampailah tiba waktu sahur. itulah rezeki mewah kali untuk bulan syawal. Pagi syawal memang jarang kami raih macam orang lain. sebab penat kami berakhir bila tiba takbir raya aidilfitri tiba. Terima kasih ayah besarkan kami. Mungkin banyak yang kurang tapi kekurangan itulah yang banyak mengajar kami berdikari. Terima kasih emak. Emak paling banyak berkorban hidup bersama ayah. Tabah mak tidak sama dengan sabarnya kami. Allah uji dengan banyak cabaran. Segala cerita baik buruk ayah kami tahu. Walau orang caci maki ayah pun, ayah tidak pernah bawa cerita buruk tentang seseorang malah ayah marah kalau kami mencaci orang.
Innalillahi Wainnailahi Raajiun.
Moga Allah ampunkan dosa-dosa yang pernah ayah lakukan sepanjang hidupnya di dunia. Moga arwah ditempatkan di kalangan orang yang beriman.
p/s: Pernah terdengar orang kata kalau seseorang itu kena strok adalah balasan kerana pernah membuat kejahatan pada seseorang. Boleh ke kita menilai macam itu ya? Aku yang dengar pun terasa. Walau jahat seseorang itu, adakah wajar kita untuk menghukum? Wallahualam.