Wednesday, January 25, 2012
SAKIT LAIN PULAK DATANG.. DUGAAN
Berbalik cerita tentang ujian aku kali ini, serangan sakit kali ini diuji di bahagian kaki. Memang sakit. Kebas, rasa pijar (seperti terkena lada), rasa terbakar dan perit. Rasa ini datang awal bulan Januari 2012 lepas. Ketika aku sedang masak untuk makan malam, mungkin kerana lama berdiri dan tidak beralaskan apa-apa di tapak kaki, tiba-tiba di bahagian sendi antara peha dan bawah perut, satu rasa kesakitan yang tidak jangka dirasai. Amat memeritkan. Aku kuatkan hati untuk menahan rasa tersebut dengan duduk sebentar sambil ku urut dan tumbuk-tumbuk kecil di kawasan tersebut. Lama kelamaan ia hilang sendiri.
Pada 9 Januari 2012 ketika aku menghadiri kursus di IKWAS, perkara yang sama berulang ketika aku dan rakan pejabat sedang berjalan untuk membeli sedikit keperluan di kompleks membeli-belah. Mungkin dalam masa 20 minit berjalan, tiba-tiba sakit itu datang kembali. Kali ini lebih terasa keperitannya sehingga rasa seperti lumpuh di kawasan tersebut. Berpeluh-peluh menahan sakit. Bila rakan bertanya, aku cuba berlakon seperti tiada apa-apa sambil menetuk-ngetuk kaki itu lalu aku berselindung di kawasan yang lain untuk menahan rasa sakit. Dalam hati cepatlah bergerak untuk pulang ke asrama. Menangis dalam hati Allah sahaja yang tahu sambil mengadu pada anak yang ku kandung, "Maaf ye anak abah ibu, ibu tengah sakit sangat ni." Akhirnya aku mengadu pada abang.
Selepas peristiwa itu, sakit itu datang lebih kerap terutama bila aku berjalan tidak sampai 30 minit, duduk di kawasan yang rata, menjahit dan berdiri lama. Aku cuba dapatkan maklumat tentang rasa sakit ini melalui internet dan akhirnya beberapa persoalan terjawab.
Terima kasih kepada blog http://drzubaidi.com/blog/?p=1500
Cuma sekarang aku tunggu masa check-up jumpa doktor pada 30.01.2012 ini untuk bertanya lebih lanjut.
Yang pasti, aku harapkan anak yang aku kandungkan ini sentiasa selamat, sempurna dan sihat. Mungkin ini pengorbanan yang kecil untuk anak abah ibu tersayang. Ibu minta maaf kalau ibu tidak sekuat ibu-ibu yang lain.
Thursday, January 5, 2012
CARTA PERGERAKAN BAYI

Tuesday, January 3, 2012
TEMU JANJI DAN IMBASAN BAYI BAGI TAHUN 2012
Temujanji di Klinik Kesihatan bagi tahun 2012
Ikut kiraan kehamilan, minggu ini telah masuk minggu ke 29 aku membawa bayi kami di dalam perut ini. Maknanya aku dah masuk 7 bulan bergelar ibu mengandung. Bila dah masuk bulan ke 7, pemeriksaan ke klinik adalah lebih kerap iaitu 2 minggu sekali berbanding sebelum ini cuma 1 kali sebulan (bagi mereka yang tiada apa-apa masalah kesihatan ketika mengandung).
Alhamdulillah, semalam pergi check-up, doktor katakan bayi dalam keadaan sihat dan ukurannya pun sempurna. Nadi jantungnya bergerak normal malah gerakannya juga kian aktif. Bermula minggu ini, doktor menyuruh aku membuat kiraan pergerakannya. Dianggap normal jika gerakannya melebihi 10 kali dari tempoh masa 9.00 pagi hingga 9 malam. Memandangkan aku pengidap diabetes, doktor menekankan kiraan ini perlu dipantau lebih kerana takut terjadi apa-apa sekiranya kiraan gerakan bayi kurang 10 kali dari tempoh masa yang diberi dan terus rujuk ke hospital jika ianya berlaku.
Setelah doktor memberi penerangan, aku diberikan 4 temujanji bagi bulan Januari 2012 dan Februari 2012. Berikut adalah temujanjinya:-
16.01.2012 – Temujanji bulanan dengan staff nurse (SN)
27.01.2012 – Ujian BSP (4 kali) – Kena ambil cuti lagi
*selalunya kena jumpa doktor setelah buat ujian BSP.
30.01.2012 – Temujanji dengan doktor (MO/DR)
20.02.2012 – Jumpa doktor pakar (FMS)
Setelah diberikan tarikh temujanji, aku diberikan suntikan kancing gigi (kali pertama) yang memang perlu diberi kepada setiap ibu yang megandung. Suntikan ke dua akan diberikan bila kandungan masuk 8 bulan.
Berikut keputusan imbasan yang telah aku lakukan sepanjang tempoh kehamilan ini:-
21.11.2011 - Ikut ukuran baby, doktor kata saiznya besar dan mungkin akan berubah bila dah masuk bulan ke 8 atau mungkin ikut keturunan belah abang yang jenis besar dan tinggi. Due date : 06.03.2012
02.01.2012 - Ukuran, degupan jantung dan pembentukan tulang normal. Due date: 16.03.2012
21.01.2012 - Ada temujanji untuk dapatkan detail tentang perkembangan bayi kami. :D
Selamat Tahun Baru 2012
Assalamualaikum w.b.t…
Selamat Tahun Baru 2012 / 1433H
Kelmarin bermulalah tahun baru masihi buat semua. Lambat betul aku ucapkan tahun baru kali ini. Walaupun baru hangat-hangat nak panaskan diri untuk kejar azam baru yang aku sendiri tak pasti dapat laksanakan atau tidak. Harap mood aku sekarang seperti gambar kat atas tu, ibarat burung yang baru ingin terbang ke udara untuk mencapai impian ke langit dengan cita-cita yang sempurna walaupun ianya tidak setinggi langit.
Moga tahun ini mendapat lebih kebaikan dan kelebihan berbanding tahun yang lepas. Banyak sebenarnya cerita di sebalik pengalaman di sepanjang tahun 2011 yang boleh kita jadikan ikhtibar dan pengajaran. Macam aku sendiri pun ada pengalaman yang baik dan buruk telah aku lalui di tahun 2011.
Pada tahun 2012 ini, aku akan bertambah status iaitu isteri dan ibu.. Alhamdulillah kini kandungan ku telah masuk 29 minggu. Lagi 9 – 11 minggu untuk menyambung kelahiran insan baru yang memang dinanti-nanti. Barangan untuk si kecil pun telah kami telah beli. Moga aku menjadi isteri dan ibu yang baik untuk suami serta anakku walaupun aku sedar yang aku bukanlah insan yang cukup sempurna untuk mereka. Tapi doakanlah yang terbaik untuk saya ya, abang??..