Aku bukan nak merungut, tetapi sakit ini datang membuatkan aku rasa benar-benar dugaan ini menguji tika aku melalui pengalaman mengandung pada kali pertama. Memang aku sangat-sangat bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan pada aku, jika dibandingkan dengan rakan-rakan aku ada juga yang masih berharap. Rezeki ini Allah lebih mengetahui, kan? Antara lambat atau cepat sahaja.
Berbalik cerita tentang ujian aku kali ini, serangan sakit kali ini diuji di bahagian kaki. Memang sakit. Kebas, rasa pijar (seperti terkena lada), rasa terbakar dan perit. Rasa ini datang awal bulan Januari 2012 lepas. Ketika aku sedang masak untuk makan malam, mungkin kerana lama berdiri dan tidak beralaskan apa-apa di tapak kaki, tiba-tiba di bahagian sendi antara peha dan bawah perut, satu rasa kesakitan yang tidak jangka dirasai. Amat memeritkan. Aku kuatkan hati untuk menahan rasa tersebut dengan duduk sebentar sambil ku urut dan tumbuk-tumbuk kecil di kawasan tersebut. Lama kelamaan ia hilang sendiri.
Pada 9 Januari 2012 ketika aku menghadiri kursus di IKWAS, perkara yang sama berulang ketika aku dan rakan pejabat sedang berjalan untuk membeli sedikit keperluan di kompleks membeli-belah. Mungkin dalam masa 20 minit berjalan, tiba-tiba sakit itu datang kembali. Kali ini lebih terasa keperitannya sehingga rasa seperti lumpuh di kawasan tersebut. Berpeluh-peluh menahan sakit. Bila rakan bertanya, aku cuba berlakon seperti tiada apa-apa sambil menetuk-ngetuk kaki itu lalu aku berselindung di kawasan yang lain untuk menahan rasa sakit. Dalam hati cepatlah bergerak untuk pulang ke asrama. Menangis dalam hati Allah sahaja yang tahu sambil mengadu pada anak yang ku kandung, "Maaf ye anak abah ibu, ibu tengah sakit sangat ni." Akhirnya aku mengadu pada abang.
Selepas peristiwa itu, sakit itu datang lebih kerap terutama bila aku berjalan tidak sampai 30 minit, duduk di kawasan yang rata, menjahit dan berdiri lama. Aku cuba dapatkan maklumat tentang rasa sakit ini melalui internet dan akhirnya beberapa persoalan terjawab.
Terima kasih kepada blog http://drzubaidi.com/blog/?p=1500
Cuma sekarang aku tunggu masa check-up jumpa doktor pada 30.01.2012 ini untuk bertanya lebih lanjut.
Yang pasti, aku harapkan anak yang aku kandungkan ini sentiasa selamat, sempurna dan sihat. Mungkin ini pengorbanan yang kecil untuk anak abah ibu tersayang. Ibu minta maaf kalau ibu tidak sekuat ibu-ibu yang lain.
No comments:
Post a Comment