Tuesday, December 4, 2012

Aktiviti Uzma Sangat Padat~~ :D

Alhamdulillah.. Dah masuk 8 bulan uzma dilahirkan di dunia yang penuh liku kehidupan ni.. chewah... Paling penting aku dan cik abang kena didik dia sepenuhnya untuk jadi muslim, insyaAllah.. Sekarang ni pun uzma dah pandai buat macam-macam. Aktiviti harian yang dia suka sangat:-

1) Menyelar (gerak menyusur ke depan dengan lajunya)
2) Naik walker (macam pelumba negara -Zulfahmi) - paling suka sampai ke dapur
3) Gigit benda-benda yang dia dapat capai terutama 'remote control'
4) Suka main air liur sebab gigi dah tumbuh 2 batang (ada la secotet tumbuhnya)
5) Rambut halusnya tu dah mula terpacak
6) Dah pandai nak berbual (babababbaba...tataataata..)
7) Paling risau - suka angguk-angguk kepala
8) Cakar-cakar muka orang terutama kalau usik pipi dia
9) Lepas mandi kalau nak pakaikan baju punya la susah..
10) Dah pandai duduk sendiri dan merangkak dengan sendirinya(22.11.2012 - masa aku tengah berpantang)
11) Bubbling (abis air liur)
12) Minat kat orang rambut panjang (terperasan sebab dia paling suka lagu intro OST - 'adam dan hawa', boleh terbangun dari tido kalau dengar lagu tu)
13) Pandai dah tepuk tangan (Tok Nchik dia ajar sambil nyanyi lagu pok amai-amai)

Bila dah pandai macam-macam ni, memang susah nak kawal pergerakannya, perlu perhati setiap pergerakan dia.

Selamat Ulang Tahun

Pada 12 zulhijjah 1433h yang lepas, genaplah 2 tahun ikatan yang terjalin antara aku dan suami membina rumahtangga yang masih baru ini. Dikurniakan dengan seorang cahayamata perempuan, Uzma Syafiah binti Mohamed Rashid pada 9 Mac 2012. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana memberi kebahagiaan untuk kami biarpun rumahtangga pastinya ada perselisihan kecil antara faham dan pendapat. Biasalah asam garam rumahtangga kan?

Baru-baru ini kami menerima berita gembira sekali lagi aku disahkan mengandung sekali lagi namun berita ini disambut dengan kehilangannya pada 17 November 2012. Allah lebih menyayangi dia daripada aku. Mungkin itu kehendaknya untuk tidak bersama kami di bumi Allah ini. Lagipun hati aku pun berbelah bagi semasa kehadirannya pada mulanya. Entahlah. Tangisan mengalir jua bila mengetahui dia tidak bernyawa memang amat memilukan memungkinkan kecuaian aku tidak menjaganya.

Bermaksud dalam bulan ini kami merasai dua perasaan iaitu meraih kegembiraan ulangtahun perkahwinan ke-2 dan kesedihan kehilangan insan ke 2 yang sepatutnya bakal dilahirkan pada 25 Mei 2013 telah Allah kembalikan ke sisinya. Adakah kesilapanku Ya Allah? Sejak keguguran ini aku cepat naik angin dan mudah kecil hati, kenapa ya? Tabahkanlah imanku penuh taat dengan-Mu Ya Allah.

Sememangnya aku sensitif di sebalik diriku yang suka ketawa...

Wednesday, October 24, 2012

Dah lama tak jenguk blog sendiri

Assalamualaikum....

Diam tak diam, dah hampir 3-4 bulan aku tak kemaskini blog ni. Minat nak mengarang tu ada tapi disebabkan urusan masa yang kurang memberangsangkan, maka semua jadi kucar kacir. Sebenarnya banyak perkara yang timbul sepanjang tempoh 'kesenyapan' aku ni. Macam-macam cerita didengar.

Friday, April 27, 2012

Inilah sekecil kami - Uzma Syafiah binti Mohamed Rashid

Ini lah dia - Uzma Syafiah binti Mohamed Rashid

Dilahirkan pada 09.03.2012 jam 07:17 pagi di Hospital Sultan Ismail, Terbau, Johor dengan berat 3.71kg secara vacuum. Kelahiran dia memang amat kami nantikan.. tak sangka besar jugak anak kami ni. Melihat dirinya buat kali pertama, terasa bersyukur yang teramat sangat kerana akhirnya selamat dia dilahirkan di dunia ini dan memberi nikmat kami suami isteri menjadi ibu bapa selepas ini.

Walaupun kesakitan yang dialami saat beberapa jam sebelum melahirkannya, segala rasa lega lepas mendengar tangisan pertamanya. Kalau ikut pengalaman aku tanda-tanda nak bersalin:-

Keluar darah jam 10.35 malam. Selepas aku solat isyak dan nak tidur, tiba-tiba rasa lain macam. Bila periksa, ada tanda darah cair sedangkan rasa sakit langsung tiada. Terus aku hubungi mak dan mak cadangkan terus ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Kebetulan malam tu abang bekerja, aku terus hubunginya. Jam 11.30 malam kami terus ke hospital berdekatan. 

Tiba di sana, doktor periksa cuma 1.5cm baru terbuka dan diminta pulang semula. Jika ada tanda air ketuban dan kesakitan baru datang semula. Jam 3.00 pagi sampai di rumah dan abang pun masuk kerja semula. Sepanjang hari tu memang tak rasa nak tidur sebab fikir tentang darah yang sentiasa keluar walaupun sedikit. 

Keesokkan harinya, kesakitan mula terasa bermula jam 10.30 malam.. setiap lebih kurang 5 minit, memang rasa sakit berpanjangan sehingga jam 12:30 malam dan tika itu memang tak dapat tahan. Minta terus abang untuk hantar ke hospital semalam. Tiba di sana, doktor periksa, dah terbuka 3cm dan terus kena tahan wad. 

Masuk bilik bersalin jam 2.00 pagi. Jururawat uruskan semua dokumen dan peralatan. Jam 3.00 pagi, jururawat memecahkan air ketuban dan memberi suntikan untuk mempercepatkan kelahiran. Selepas dari suntikan itu, setiap 5 - 10 minit, kesakitan yang teramat sangat terasa.. hanya bertawakal sahaja masa tu.. 

Akhirnya jam 6.30 pagi, sakit yang teramat itu datang dan jam 06.50 pagi bermulalaah pertaruhan antara aku dan keadaan tegang ketika itu. Aku cuba untuk meneran tapi mungkin ilmu untuk bersalin tu tak berapa cukup, dah cuba sedaya upaya memang aku tak mampu. Doktor siap bagitau degupan jantung bayi dah lemah, akhirnya doktor terpaksa menggunakan alatan bantuan - vacuum. Beberapa minit lepas tu terdengar tangisan si kecil dan setelah dibersihkan jururawat menunjukkan wajah si kecil. Alhamdulillah, aku amat-amat bersyukur Ya Allah. Comelnya, ya dia tetap comel di mata kami.

Urusan bersalin tidak berakhir di situ. Doktor mengambil masa lebih kurang 1 jam untuk tujuan jahitan. Jam 8.15 pagi, aku diusung keluar dari bilik bersalin ke wad bersalin.

Syukur akhirnya segalanya dah selesai. 

Bersama anak kami. Syukur Alhamdulillah (Muka macam sihat sangat je aku)

Sunday, April 15, 2012

Alhamdulillah.. Selamat sudah melahirkan si kecil

Dah lama rasanya aku tidak meringankan jemari ini untuk menaip di blog ini. Maklum la pada 09.03.2012, selamatnya seorang bayi perempuan dilahirkan. Betapa bertuahnya aku menjadi seorang ibu selepas tarikh itu. Ya! Memang rasa bertuah dan bersyukur kerana Allah telah memilih aku dan suami mendapat cahaya mata sulung ini.

Pada 09.03.2012 yang lalu jam 07.17 pagi di hari jumaat selepas redanya hujan, aku telah melahirkan seorang bayi perempuan seberat 3.71kg walaupun aku lahirkannya secara vacuum disebabkan tak larat nak meneran masa tu. Memang pengalaman yang tidak dapat aku rungkaikan. Di post yang akan datang aku akan ceritakan:

1) Pengalaman saat-saat nak bersalin
2) Kurangnya pengetahuan tentang penyususan susu ibu yang betul
3) masalah-masalah yang dihadapi ketika dalam pantang ( ibu dan bayi)

beberapa hari lagi saya akan kongsikan cerita mengenai pengalaman-pengalaman di atas.

Friday, February 24, 2012

minggu ke 36 + 37

Alhamdulillah~~ Kini usia kandunganku masuk 36 minggu 5 hari.. Maka pada hari khamis depan genaplah 37 minggu 3 hari (9 bulan 10 hari).. Debaran makin terasa dan yang pastinya ‘excited’ pun ada. Namun disebabkan keputusan ‘scan’ pada ahad lepas doktor menyatakan bayi aku besar 2 minggu (pada 36 minggu, bayi dalam kandungan ni dah besar 38 minggu), aku dan abang dah mula rasa risau... Takut susah nak bersalin setelah mendengar cerita dari doktor kemungkinan buruk akan berlaku kalau anak ni besar berdasarkan beberapa pengalamannya.


Bayi kami besar
Kalau ikut logik, ada kemungkinan bayi ini besar disebabkan aku ni ada kencing manis (diabetes). Besar ke anak abah ibu ni? Malam selepas kami jumpa doktor, aku memang tak boleh tidur.. Asyik gelisah.. Apa pulak dugaan kali ini agaknya.. Sambil usap-usap perut ni, asyik minta maaf kat anak abah ibu sebab buat dia macam tu. Tapi aku mohon sangat pada-Mu Ya Allah, Moga anak kami ini sempurna dan sihat hendaknya. Mungkin salah aku tak jaga makan, tapi jangan la hukum anak kami ini.

Disebabkan kerana risau anak kami ni besar, aku siap usap-usap perut ni sambil bagi perangsang pada dia “Kuar cepat-cepat ye…”. Boleh gitu? Huhuhu… Apapun semuanya Allah punya kuasa. DIA Maha Mengetahui mana yang terbaik untuk kami. Tapi yang seronoknya, semasa membuat imbasan tersebut, aku dapat lihat wajahnya walaupun hitam putih.. Tombamnya anak abah ibu ni.. Sedap je dia duduk dalam pewot ni ek.. Geram tengok.. (sebab tu tak sabar nak tunggu dia keluar)..


Rekahan Perut
Erm… Entah apa silapnya, perut aku merekah hebat terutama di bahagian bawah perut. Baru aku perasaan beberapa hari lepas, ada garisan kebiruan di bahagian itu. Patutlah kulit aku makin kegatalan… Bila aku mula rasa nak mengaru, aku cuma gosok-gosok lembut takut bayi kami tidak selesa kerana aku perasan jika aku gosok-gosok sedikit pun dia mula bergerak sambil menunjukkan mungkin siku, genggamannya dan kakinya…


Kesimpulan bagi kandungan ku kini:-
1) Imbasan Bayi – Doktor maklumkan anak kami besar lebih 2 minggu dan risiko-risiko yang akan berlaku. Dinasihatkan rujuk Pakar.

2) Rekahan perut (Stretch Marks) – Mula kelihatan pada minggu ke 35, entah apa silapnya kerana sebelum ini perut ini ok saja tetapi sejak dua menjak ni, perut mula rasa gatal dan Nampak sangat garisan-garisan Stretch Marks ini muncul dan lebih mengejutkan aku, rupanya banyak di bawah perut dengan kesan kebiruan. Mungkin aku tak sapu sepenuhnya Cream Buttercocoa.


Wednesday, February 15, 2012

Kekejangan Kaki Kembali...

Rasanya sejak dua minggu kebelakangan ini aku makin kerap mengalami kekejangan dan sakit urat di bahagian kaki. Nak kata badan aku sejuk tidak juga sebab sejak kandungan ini masuk 30 minggu, badan kerap berpeluh dan rasa hangat.

Kekejangan kaki yang paling menyakitkan dan paling lama aku rasai pada hari sabtu lepas. Lebih 1 minit kejang kaki kiri tidak surut.. Berulang sampai 3 - 4 kali dalam masa tersebut. Sampaikan aku terpaksa menutup muka dengan bantal busuk aku sebab nak meraung kesakitan. Maklumlah seawal 2 - 3 pagi kekejangan itu terasa. Alhamdulillah tiap kali aku kekejangan, abang  ada di sisi. Syukur sangat-sangat. Walaupun dengan mamainya dia terjaga, sanggup dia urutkan kaki aku. Kejadian ini berlaku sekali lagi pagi tadi. Jam 3.00 pagi aku terjaga dan kena sebelah kanan pula. Badan berpeluh tak usah cakap...

Bila aku fikir semula, tiap kali bila aku terlalu banyak berjalan atau berdiri, ketika aku tidur pastinya kekejangan kaki berlaku. Paling aku risau bila aku terlalu banyak bergerak dan berdiri, sakit urat di bahagian peha pasti akan rasa dan bila sakit itu terlalu memeritkan, bayi dalam kandungan ini pasti bergerak dengan kerap. Adakah dia pun rasa kesakitan yang aku rasa? Ya Allah... lindungilah dia dengan kesihatan di dalam rahimku ini.. Aku sangat menyayangi kurniaan tak ternilai yang telah Engkau berikan pada aku dan suami. Maafkan ibu ye anak abah ibu.. Ibu memang tak kuat... tapi ibu tetap cuba bertahan...

Wednesday, February 8, 2012

BUNGA... ORKID LA....

Inilah dia hobi lama mak yang diminatinya semula


Hari ini aku ingin berkongsi cerita tentang hobi mak ku yang dah lebih 15 tahun dia tinggalkan iaitu menanam bunga orkid. Dahulu sekitar awal 90-an, mak memang dikenali sebagai peminat orkid di kampung. Siap menjual pokok orkid dan pasu bunga lagi. Siap ada pondoknya lagi. Kalau di kedainya, ada kelengkapan dan penjagaan pokok ini termasuk baja dan arang. Tapi disebabkan oleh sesetengah orang kampung yang tak ada moral, boleh pulak ambil segala usaha mak tanpa izin semasa rumah kami ditinggalkan. Apa lah perasaan mereka ni.


Ehem... ehem... berbalik semula cerita tentang hobi dia ni juga, rasanya keinginan aku nak menanam spesis ini membara-bara pulak, cuma tunggu masa aku lahirkan anak ini dahulu baru aku nak mulakan tanam pokok orkid ini. Mengikut kata mak, cara jagaannya mudah, tak memerlukan baja dan air yang terlalu banyak. Nantilah aku tuntut ilmu penjagaan pokok ini.

Baiklah, disini aku paparkan jenis bunga orkid secara dekat yang telah dijaga rapi oleh mak ku.














Cantikkan?? :D

Mohon maaflah sebab tak berapa mahir tentang jenis bunga orkid lagi. Tetapi yang aku tahu, mak telah mengumpul 22 jenis orkid setakat ini. Katanya nak dibina pondok sebab lebih cantik jika ianya digantung.
Apapun, aku memang puji dengan mak sebab jenis tangan yang suka berkawan dengan tanah. Bukan setakat pokok bunga orkid sahaja, jenis-jenis tanaman herba, sayuran dan buah-buahan juga dia berjasa dengan tanah antaranya pokok pisang, ubi kayu, jenis-jenis pokok yang menjadi bahan masakan dan macam-macam lagi la... 

Mak memang seni, pandai masak, menjahit dan berkebun. :D

Tuesday, February 7, 2012

Seronok... Dapat rasa genggaman dia ...(Agaknya la...)

Semalam, semasa aku berada di rumah mak di Felda Sungai Sibol, selepas berbual panjang dengan mak tentang hobi lama mak yang kini dia minat kembali, sedang asyik melihat perut ni bergerak ke kiri ke kanan, tiba-tiba terlihat satu benjolan di sebelah kanan perutku.. Ku cuba dapatkan benjolan itu... Terujanya!!! Rasa seperti satu genggaman kecil. Mungkinkah itu genggaman si kecik kami.. Huhuhu... Seronok... Selepas beberapa saat aku rasai genggaman tersebut, dia lepaskan kemudian kembali menunjukkannya semula. Kali ke dua aku rasainya.. Sambil mengusap-ngusap perut ini, aku berbual dengannya "main-main ye..."

Memang pengalaman yang menarik.. Pandai ya bergurau sekarang... huhuhu...

Thursday, February 2, 2012

Masuk minggu ke 34

Alhamdulillah... Pada 5 Februari 2012 ini, kandunganku masuk ke 34 minggu dan dua minggu lagi genaplah kandungan 9 bulan.. Walaupun EDD dijangka pada 18 Mac 2012, aku harus berjaga-jaga sekiranya bersalin awal dari jangkaan tersebut. Bak kata doktor kemungkinan 2 minggu awal atau 2 minggu lewat...

Maka aku pun rasa macam tak sabar-sabar menanti kehadiran 'orang baru' ni. Dia pun dah makin rancak bergerak mungkin disebabkan ruang perutku yang semakin padat. Al-maklumlah dia pun dah semakin membesar. Sayang anak abah ibu ni. Seakan mengerti jika aku berbual dengannya. Selalu kejutkan ibu seawal 3 - 4 pagi hampir setiap hari sampaikan ibu tak boleh tidur selepas itu. Tiba di tempat kerja dah mula mengantuk. Waktu tengahari adalah waktu kemuncak aku mengantuk yang teramat sangat disebabkan terlalu awal aku berjaga. Sejak dua menjak ni, selalu sangat rasa:-
  1. Sakit belakang/bawah dada - rasa lenguh
  2. Sembelit - silap makan sikit mula la. angin dalam perut jangan cakap la
  3. Kebas di antara peha dan bawah perut makin terasa - dulu kalau berjalan lama sikit dah rasa, sekarang salah duduk pun dah terasa
  4. Perut menegang - Dah mula rasa tegang dan mengeras, kadang-kadang rasa gatal tapi tak nak layankan sangat takut ada bekas lepas bersalin
  5. Bayi bergerak lebih kerap - dah padat sangat perut ni sampai tak ada ruang untuk dia bergerak bebas agaknya. Kalau usap sikit perut ni, terus dia bergerak-gerak. (saat paling seronok kalau dia bergerak)
Rawatan bagi bulan Februari ini :-
13.02.2012 - Pemeriksaan oleh jururawat (rasanya kena suntikan kancing gigi kali ke 2)
17.02.2012 - Ujian BSP
20.02.2012 - Temujanji dengan Doktor Pakar di Klinik Masai

temujanji doktor gigi pun akan dilakukan pada bulan ni, cuma tak tahu bila tarikhnya.

Moga detik-detik akhir sebagai ibu mengandung anak pertama ini ditempuhi dengan baik, insyaAllah. Aku harapkan anak abah ibu ni sentiasa sihat, selamat dan sempurna, insyaAllah...

Sayang anak abah ibu nie... Muah!!! :D

Wednesday, January 25, 2012

SAKIT LAIN PULAK DATANG.. DUGAAN

Aku bukan nak merungut, tetapi sakit ini datang membuatkan aku rasa benar-benar dugaan ini menguji tika aku melalui pengalaman mengandung pada kali pertama. Memang aku sangat-sangat bersyukur dengan rezeki yang Allah berikan pada aku, jika dibandingkan dengan rakan-rakan aku ada juga yang masih berharap. Rezeki ini Allah lebih mengetahui, kan? Antara lambat atau cepat sahaja.

Berbalik cerita tentang ujian aku kali ini, serangan sakit kali ini diuji di bahagian kaki. Memang sakit. Kebas, rasa pijar (seperti terkena lada), rasa terbakar dan perit. Rasa ini datang awal bulan Januari 2012 lepas. Ketika aku sedang masak untuk makan malam, mungkin kerana lama berdiri dan tidak beralaskan apa-apa di tapak kaki, tiba-tiba di bahagian sendi antara peha dan bawah perut, satu rasa kesakitan yang tidak jangka dirasai. Amat memeritkan. Aku kuatkan hati untuk menahan rasa tersebut dengan duduk sebentar sambil ku urut dan tumbuk-tumbuk kecil di kawasan tersebut. Lama kelamaan ia hilang sendiri.

Pada 9 Januari 2012 ketika aku menghadiri kursus di IKWAS, perkara yang sama berulang ketika aku dan rakan pejabat sedang berjalan untuk membeli sedikit keperluan di kompleks membeli-belah. Mungkin dalam masa 20 minit berjalan, tiba-tiba sakit itu datang kembali. Kali ini lebih terasa keperitannya sehingga rasa seperti lumpuh di kawasan tersebut. Berpeluh-peluh menahan sakit. Bila rakan bertanya, aku cuba berlakon seperti tiada apa-apa sambil menetuk-ngetuk kaki itu lalu aku berselindung di kawasan yang lain untuk menahan rasa sakit. Dalam hati cepatlah bergerak untuk pulang ke asrama. Menangis dalam hati Allah sahaja yang tahu sambil mengadu pada anak yang ku kandung, "Maaf ye anak abah ibu, ibu tengah sakit sangat ni." Akhirnya aku mengadu pada abang.

Selepas peristiwa itu, sakit itu datang lebih kerap terutama bila aku berjalan tidak sampai 30 minit, duduk di kawasan yang rata, menjahit dan berdiri lama. Aku cuba dapatkan maklumat tentang rasa sakit ini melalui internet dan akhirnya beberapa persoalan terjawab.

Terima kasih kepada blog http://drzubaidi.com/blog/?p=1500

Cuma sekarang aku tunggu masa check-up jumpa doktor pada 30.01.2012 ini untuk bertanya lebih lanjut.
Yang pasti, aku harapkan anak yang aku kandungkan ini sentiasa selamat, sempurna dan sihat. Mungkin ini pengorbanan yang kecil untuk anak abah ibu tersayang. Ibu minta maaf kalau ibu tidak sekuat ibu-ibu yang lain.

Thursday, January 5, 2012

CARTA PERGERAKAN BAYI

Carta Pergerakan Bayi


Pada 02.01.2012 yang lepas untuk temujanji dengan doktor, beliau menyuruh aku untuk mulakan pengiraan pergerakan bayi kerana kandungan telah masuk 7 bulan.

Kiraan bermula jam 9.00 pagi hingga 8.00 malam. Dalam tempoh tersebut bayi mempunyai pergerakan sebanyak 10 kali atau lebih dan perlu mencatatkan masa pergerakan ke 10. Mengikut penerangan doktor, setiap pergerakan dikira setiap kali bayi bergerak banyak dan berhenti seketika dalam tempoh tertentu. Jika bayi bergerak 2 - 3 kali dalam masa 1 jam, ia boleh dikira sebanyak 3 kali.

Contoh:-
Bayi bergerak jam 9.10 pg dan berhenti jam 9.12pg - dikira pergerakan pertama.

Bayi bergerak lagi jam 9.30pg dan berhenti jam 9.31 pg - dikira pergerakan yang ke 2.

Bayi bergerak lagi jam 9.55 pg dan berhenti ham 9.57 pg - dikira pergerakan yang ke 3.

Jadi, perlulah ditandakan (/) pada carta pergerakan bayi dalam buku kesihatan ibu mengandung yang diberikan oleh Klinik Kesihatan. Pemantauan Pergerakan Bayi ini perlu bagi memastikan bayi dalam keadaan sihat dan bernyawa. Lebih-lebih lagi macam aku ni yang mengidap diabetes, pergerakan ini memang perlu dipantau dan diberi pengawasan sepenuhnya keran dikhuatiri bayi lemas atau lemah.

Jika dalam tempoh masa 12 jam kiraan tersebut, pergerakan bayi kurang 10 kali, ibu perlu SEGERA ke hospital berdekatan.

Tuesday, January 3, 2012

TEMU JANJI DAN IMBASAN BAYI BAGI TAHUN 2012

Temujanji di Klinik Kesihatan bagi tahun 2012


Ikut kiraan kehamilan, minggu ini telah masuk minggu ke 29 aku membawa bayi kami di dalam perut ini. Maknanya aku dah masuk 7 bulan bergelar ibu mengandung. Bila dah masuk bulan ke 7, pemeriksaan ke klinik adalah lebih kerap iaitu 2 minggu sekali berbanding sebelum ini cuma 1 kali sebulan (bagi mereka yang tiada apa-apa masalah kesihatan ketika mengandung).


Alhamdulillah, semalam pergi check-up, doktor katakan bayi dalam keadaan sihat dan ukurannya pun sempurna. Nadi jantungnya bergerak normal malah gerakannya juga kian aktif. Bermula minggu ini, doktor menyuruh aku membuat kiraan pergerakannya. Dianggap normal jika gerakannya melebihi 10 kali dari tempoh masa 9.00 pagi hingga 9 malam. Memandangkan aku pengidap diabetes, doktor menekankan kiraan ini perlu dipantau lebih kerana takut terjadi apa-apa sekiranya kiraan gerakan bayi kurang 10 kali dari tempoh masa yang diberi dan terus rujuk ke hospital jika ianya berlaku.


Setelah doktor memberi penerangan, aku diberikan 4 temujanji bagi bulan Januari 2012 dan Februari 2012. Berikut adalah temujanjinya:-


16.01.2012 – Temujanji bulanan dengan staff nurse (SN)


27.01.2012 – Ujian BSP (4 kali) – Kena ambil cuti lagi


*selalunya kena jumpa doktor setelah buat ujian BSP.


30.01.2012 – Temujanji dengan doktor (MO/DR)


20.02.2012 – Jumpa doktor pakar (FMS)


Setelah diberikan tarikh temujanji, aku diberikan suntikan kancing gigi (kali pertama) yang memang perlu diberi kepada setiap ibu yang megandung. Suntikan ke dua akan diberikan bila kandungan masuk 8 bulan.


Berikut keputusan imbasan yang telah aku lakukan sepanjang tempoh kehamilan ini:-


21.11.2011 - Ikut ukuran baby, doktor kata saiznya besar dan mungkin akan berubah bila dah masuk bulan ke 8 atau mungkin ikut keturunan belah abang yang jenis besar dan tinggi. Due date : 06.03.2012


02.01.2012 - Ukuran, degupan jantung dan pembentukan tulang normal. Due date: 16.03.2012


21.01.2012 - Ada temujanji untuk dapatkan detail tentang perkembangan bayi kami. :D

Selamat Tahun Baru 2012

Kredit untuk gambar dari abang

Assalamualaikum w.b.t…

Selamat Tahun Baru 2012 / 1433H

Kelmarin bermulalah tahun baru masihi buat semua. Lambat betul aku ucapkan tahun baru kali ini. Walaupun baru hangat-hangat nak panaskan diri untuk kejar azam baru yang aku sendiri tak pasti dapat laksanakan atau tidak. Harap mood aku sekarang seperti gambar kat atas tu, ibarat burung yang baru ingin terbang ke udara untuk mencapai impian ke langit dengan cita-cita yang sempurna walaupun ianya tidak setinggi langit.

Moga tahun ini mendapat lebih kebaikan dan kelebihan berbanding tahun yang lepas. Banyak sebenarnya cerita di sebalik pengalaman di sepanjang tahun 2011 yang boleh kita jadikan ikhtibar dan pengajaran. Macam aku sendiri pun ada pengalaman yang baik dan buruk telah aku lalui di tahun 2011.

Pada tahun 2012 ini, aku akan bertambah status iaitu isteri dan ibu.. Alhamdulillah kini kandungan ku telah masuk 29 minggu. Lagi 9 – 11 minggu untuk menyambung kelahiran insan baru yang memang dinanti-nanti. Barangan untuk si kecil pun telah kami telah beli. Moga aku menjadi isteri dan ibu yang baik untuk suami serta anakku walaupun aku sedar yang aku bukanlah insan yang cukup sempurna untuk mereka. Tapi doakanlah yang terbaik untuk saya ya, abang??..

Monday, January 2, 2012

SUDAH PACKING BARANG UNTUK ANAK ABAH IBU!!!

Hari ini aku bercerita lagi tentang persediaan menyediakan barangan bayi untuk anak kami. Buat masa ini, hampir 89% (main agak je) persediaan telah kami beli untuk anak kami yang bakal dilahirkan pada awal Mac 2012. Memang excited nak tunggu dia kuar. Lebih-lebih lagi bila dia dah aktif bergerak dalam perut ni. Ke kiri ke kanan, ke atas ke bawah, sampaikan rasa terkejut tiba-tiba dia tendang macam bola perut ibu dia nie.. huhuhu... Sambil usap-usap, aku berbual la dengan dia... abang memang tak dapat rasa tapi setiap kali anak abah ibu ni menendang kuat, aku pasti tarik tangan abang untuk rasa apa yang aku alami...

Oklah, bercerita tentang persediaan ni, kiranya aku dah bungkus semua keperluan untuk ke hospital bila aku bersalin nanti, cuma bedung dengan barut je belum siap sebab baru 2 minggu lepas aku hantar kain kat mak, mak nak jahitkan, aku suka je... tok chik nak jahitkan untuk cucu dia ni... huhuhu..

Inilah keperluan yang siap aku susun:
Tuala - Lampin - 3 pasang baju - sarung tangan n stokin - mandian - tisu basah - kapas
cuma barut dan bedung lom siap, tunggu tok chik siapkan :D

Ini antara pakaian anak abah ibu yang telah dibeli.. Comel tak? :D

Sarung tangan yang sememangnya menarik perhatian kami dengan corak cute nya

Buat masa ini, jantina bayi kami belum dapat dipastikan lagi sebab masa kami buat scan pada usia kandungan 6 bulan, anak abah ibu ni macam tak bagi tengok jantina dia, siap kepit kaki dan tutup muka dia dengan tangan. Puas doktor tolak-tolak, tak mahu jugak dia... Amboi... huhu...Akhirnya doktor kata "Mungkin perempuan ni"... Kalau ikut firasat abang pun, dia kata anak abah ibu ni pompan, siap dah pilih nama yang sedap maksudnya... :D

Kami pun beli barang untuk anak abah ibu bermacam warna kecuali warna pink memang tak beli sebab menyerlah sangat warnanya... huhuhu... Jadi, tunggu scan akan datang pada bila kandungan ni dah masuk minggu ke 32 (8 bulan)...

Yang penting, anak abah ibu sentiasa sihat wal'afiat dan sempurna walaupun ibu ni mengidap diabetes... InsyaAllah...

Ayat penting yang tak kan pernah aku lupa, "SAYANG ANAK ABAH IBU YANG COMEI NI"
MUAHHHHH!!!